AKSI Ighalo (25) meledak jaringan ketiga United di Stadium Pride Park. FOTO AFP
AKSI Ighalo (25) meledak jaringan ketiga United di Stadium Pride Park. FOTO AFP
Reuters

DUA jaringan pemain pinjaman, Odion Ighalo membantu Manchester United menewaskan Derby County 3-0 untuk mara ke suku akhir Piala FA awal pagi tadi sekali gus menghampakan penjaring terbanyak sepanjang zaman United, Wayne Rooney.

Derby bermula baik tetapi skuad Ole Gunnar Solskjaer mula menguasai perlawanan di tempat lawan apabila rembatan pertahanan Luke Shaw yang melantun menerjah jaring melepasi jangkauan penjaga gol, Kelle Roos pada minit ke-33.

Shaw kemudiannya menghantar bola kepada Ighalo dalam kotak penalti yang meledak rembatan untuk gol kedua United pada minit ke-41.

Penyerang Nigeria berusia 30 tahun itu yang dipinjam dari kelab China, Shanghai Shenhua sehingga penghujung musim tiba di Old Trafford pada Januari lalu melengkapkan kemenangan bergaya United pada minit ke-79 hasil rembatan jarak dekat.

United akan berkunjung ke Norwich City dalam saingan lapan terakhir selepas kelab tercorot Liga Perdana itu menewaskan Tottenham Hotspur kendalian bekas pengurus United, Jose Mourinho menerusi penentuan penalti kelmarin.

Rooney yang menyertai Derby musim ini selepas berpindah dari kelab MLS, DC United berpeluang menyamakan kedudukan tetapi sepakan percumanya pada minit ke-36 diselamatkan di hujung jari oleh penjaga gol United, Sergio Romero.

Pemain berjanggut berusia 34 tahun itu kemudiannya dilayangkan kad kuning selepas mengasari Scott McTominay.

United beraksi tanpa kapten, Harry Maguire yang mengalami kecederaan buku lali ketika sesi latihan.

"Dia terjatuh ketika berlatih. Dia perlu berehat di rumah dan harap OK untuk aksi hujung minggu ini tapi saya tak pasti,” kata Solskjaer yang kelabnya akan menerima kunjungan City dalam aksi ‘derby’ Liga Perdana pada Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 7:37 AM