Pemain Negeri Sembilan mengawal pemain Import JDT II pada aksi Sabtu lalu. FOTO JOHOR Southern Tigers
Pemain Negeri Sembilan mengawal pemain Import JDT II pada aksi Sabtu lalu. FOTO JOHOR Southern Tigers
Mohd Amin Jalil


SELEPAS kecundang pada aksi pertama, Negeri Sembilan tekad bangkit meraih kemenangan apabila turun menentang Kuala Lumpur, pada perlawanan kedua Liga Perdana di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Ketua jurulatih, Sazali Saidun, mahu pemain skuad Hobin Jang Hobin mempamerkan persembahan lebih bertenaga bagi memastikan tiga mata yang dicari dapat direalisasikan biarpun beraksi di gelanggang lawan.

"Kekalahan pada aksi pertama perlu dilupakan dan kini pemain Negeri Sembilan perlu fokus pada pertembungan dengan Kuala Lumpur malam esok.

"Pemain sudah diingatkan supaya memperagakan aksi lebih mantap dan dalam masa sama tidak melakukan sebarang kesilapan terutama pada awal permainan.

"Saya harap segala perancangan yang sudah diatur dapat diterjemahkan dengan baik dan misi memburu kemenangan pertama musim ini, perlu direalisasikan," katanya.

Pengendali berasal dari Johor itu juga akui bahawa persiapannya bagi menentang skuad bimbingan Nidzam Adzha Yusoff, dilihat lebih lancar walaupun penyerang dari Brazil, Almir Neto, belum cergas sepenuhnya.

Menurutnya, bagaimanapun gandingan Almir, Igor Luiz berada pada persiapan terbaik untuk mengetuai jentera serangan dan berharap dia dapat menjaringkan gol pada pertembungan itu nanti, selepas meledak gol tunggal pada aksi menentang Johor Darul Ta1zim II (JDT II), Sabtu lalu.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan akan melakukan sedikit perubahan dalam barisan kesebelasan utama skuad Rusa, bagi memastikan setiap bahagian dapat berfungsi sepenuhnya.

"Kita tahu Kuala Lumpur dibarisi beberapa pemain berpengalaman seperti Shukor Adan, Indra Putra Mahyuddin, Akram Mahinan dan Tengku Qayyum.

"Oleh itu, kita perlu mengimbangi kekuatan mereka dengan menurunkan barisan pemain terbaik dan berpengalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 6:55 PM