Sathianathan ketika mengendalikan latihan skuad Selangor. FOTO File NSTP
Sathianathan ketika mengendalikan latihan skuad Selangor. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


PENGENDALI Selangor, B Sathianathan mahu anak buahnya menganggap aksi berdepan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam esok umpama final bagi memastikan misi meraih tiga mata menjadi kenyataan.

Menurutnya, walaupun Red Giants berjaya melakar kejutan ke atas Pahang dalam aksi pertama Liga Super minggu lalu, namun aksi kedua bertemu skuad The Bos Gaurus ini dijangka lebih sengit terutama selepas lawan turut mencatat kemenangan 3-2 ke atas Terengganu FC.

"Kita menang pada perlawanan pertama di tempat lawan dan Perak juga sama apabila menang di Kuala Terengganu.

"Jadi saya kira ini adalah satu lagi perlawanan sukar buat Selangor dan saya mahu pemain anggap ini sebagai perlawanan final bagi meniupkan semangat pemain.

"Lagipun Bukit Jalil (Stadium Bukit Jalil) selalu langsungkan perlawanan akhir, jadi dah alang-alang kita main di sana, apa salahnya kita ambil aura venue itu sebagai final," katanya.

Tambahnya lagi, barisan pemain Red Giants tidak boleh memandang ringan tentangan lawan kerana berdasarkan pemerhatiannya jentera serangan pasukan Perak cukup ampuh.

"Mehmet Durakovic (jurulatih Perak) adalah seorang jurulatih yang bagus dan bijak memasang strategi tertentu yang boleh memerangkap kita.

"Begitupun, kita juga ada perancangan tersendiri untuk meraih kemenangan. Apapun, kita akan turun dengan skuad terbaik dan fokus mencari tiga mata di tempat sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 8:10 PM