SKUAD negara mungkin mengadakan perlawanan persahabatan.
SKUAD negara mungkin mengadakan perlawanan persahabatan.
Firdaus Hashim


PERLAWANAN kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membabitkan skuad negara bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada 26 dan 31 Mac ini terpaksa ditunda ekoran penularan wabak Covid-19.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sudah membuat keputusan itu pada mesyuarat tergempar badan induk Asia itu, Isnin lalu, namun disebabkan ia turut membabitkan kelayakan ke Piala Dunia 2022, kelulusan akhir turut memerlukan persetujuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sebagai badan induk bola sepak dunia.

Di sebalik penangguhan itu, skuad Harimau Malaya tetap akan mengadakan sekurang-kurangnya satu perlawanan antarabangsa dalam tempoh kalendar Fifa pada pertengahan bulan ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe juga dijangka meneruskan latihan pusat bermula 16 Mac ini dengan kemungkinan dua pasukan serantau iaitu Myanmar atau Filipina bakal menguji pasukan negara.

Menurut pengurus pasukan, Datuk Yusoff Mahadi, pihak sekretariat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang berusaha berunding dengan dua pasukan Asia Tenggara itu dengan kemungkinan salah satu pasukan menjadi lawan Harimau Malaya.

Katanya, perancangan asal untuk menentang Bahrain dan Yaman dalam aksi persahabatan sebelum bertemu UAE terpaksa dibatalkan susulan isu Covid-19 hingga memaksa pelan B berdepan pasukan serantau dijalankan.

“Kita maklum mengenai perkembangan terkini isu Covid-19 dan kemungkinan besar perlawanan kelayakan Piala Dunia dengan UAE dan Vietnam ditangguhkan.

“FAM masih menunggu surat rasmi dari AFC berhubung penangguhan itu, tetapi dengan usaha FAM mencari perlawanan lain (Myanmar atau Filipina) boleh disahkan ia memang akan tangguh.

“Jadi, kita tetap akan berlatih dan kemungkinan kita akan lawan pasukan jiran. Apa yang saya dimaklumkan, kita sedang dapatkan Myanmar atau Filipina,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 6:10 AM