Kei Nishikori. FOTO File USA Today
Kei Nishikori. FOTO File USA Today
Reuters

PENANTIAN Kei Nishikori untuk kembali beraksi berikutan mengalami kecederaan siku tertangguh lagi apabila dia terpaksa menarik diri daripada pasukan Jepun yang menyertai kelayakan Piala Davis berdepan Ecuador di Miki, semalam.

Perlawanan dilangsungkan tanpa penonton kerana penularan wabak koronavirus di negara itu.

Bekas pemain nombor empat dunia Nishikori tidak beraksi sejak Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun lalu tapi disenaraikan dalam pasukan Jepun ketika mereka cuba untuk layak pada pusingan akhir penghujung tahun ini yang dijadualkan berlangsung di Madrid.

Bagaimanapun, dia meninggalkan perlawanan semalam dan Jepun berdepan satu lagi masalah apabila pemain nombor 48 dunia, Yoshihito Nishioka enggan pergi ke Jepun dari AS kerana bimbang dia berkemungkinan tidak dapat pulang semula kerana penularan wabak koronavirus.

“Semuanya berjalan lancar, tapi saya tidak dapat memenuhinya pada masa yang tepat,” kata Nishikori, yang tidak bermain untuk Jepun sejak 2016 kepada laman sesawang rasmi Piala Davis.

“Saya pasti akan kembali tidak lama lagi, saya berharap di Miami bulan ini atau untuk musim gelanggang tanah liat, tapi bukan minggu ini.”

“Keadaan siku saya baik tetapi anggota badan saya belum bersedia sepenuhnya, dan saya mahu memastikan keadaan saya bersedia sepenuhnya terlebih dahulu. Saya sudah berehat agak lama dan saya kembali tampil dengan segala-galanya baharu.

“Sangat menyedihkan, menyaksikan Terbuka Australia dan kini terlepas Piala Davis dan beberapa kejohanan besar pada masa akan datang.”

Pertembungan itu berlangsung tanpa kedua-dua penyokong di Bourbon Beans Dome ketika Jepun cuba mengawal penularan koronavirus yang menjadi kebimbangan mengenai kelangsungan Sukan Olimpik pada tahun ini.

“Agak janggal tanpa peminat di sini,” kata Nishikori. “Saya pasti pemain merasai sesuatu yang berbeza. Apabila anda mempunyai ramai penonton, anda secara automatik memberi tumpuan, jadi pasukan itu akan mempunyai sokongan di antara satu sama lain lebih daripada biasa.”

Dalam kelayakan itu Ecuador mengatasi Jepun 3-0 untuk menempah tempat pusingan akhir di Madrid pada November depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 6:59 PM