HAZARD (kanan) melepaskan rembatan untuk memberikan jaringan sulung buat Dortmund. FOTO AFP
HAZARD (kanan) melepaskan rembatan untuk memberikan jaringan sulung buat Dortmund. FOTO AFP
AFP

PERSEMBAHAN luar biasa Thorgan Hazard menentang bekas kelabnya, membolehkan Borussia Dortmund meraih tiga mata selepas menumpaskan Borussia Moechengladbach 2-1 awal pagi tadi.

Perlawanan berkenaan berlangsung dengan tegang dan mencatat rekod pemberian kad kuning tertinggi di Bundesliga dengan 10 layangan kad, tatkala kedua-dua pemain pasukan berkenaan terpaksa ditenangkan jurulatih Dortmund, Lucien Favre sebaik tamat aksi.

“Ia perlawanan yang sukar. Gladbach sangat efisyen dan aksi kami di separuh masa pertama kurang memuaskan. Sebaik keduudkan 1-1 kami baru bermain dengan baik dan ia sangat cemerlang,” kata Favre.

Dortmun mendahului seawal minit ke-10 selepas bekas pemain tengah Gladbach, Hazard menyambut hantaran Erling Braut Haaland dan memperdayakan tiga pertahanan sebelum melakukan sepakan lencong.

Gladbach menyamakan kedudukan pada minit ke-50 apabila Lars Stindl menampan masuk rembatan Alassane Plea bagi merekodkan jaringan kelimanya dalam empat perlawanan.

Kebangkitan Dortmund hadir pada minit ke-66 apabila Jadon Sancho dimasukkan sebagai pemain gantian.

Sancho melakukan hantaran menghasilkan jaringan yang ke-15 musim ini dengan gol disempurnakan Achraf Hakimi menumpaskan penjaga gol, Yann Sommer.

Kemenangan itu membolehkan Dortmund memintas Leipzig di tangga kedua, kurang satu mata dengan pendahulu liga, Bayern Munich.

Selepas perlawanan, Hazard memuji usaha Haaland yang tidak tamak dengan memberikan pemain lain peluang mencetak jaringan.

“Saya rasa dia perlu melakukan lebih banyak hantaran menghasilkan jaringan, kerana dia sudah banyak menjaringkan gol. Saya melakukan hantaran kepada nya sebelum ini dan dia membalasnya, jadi kami terikat 1-1. Selepas ini giliran saya melakukan hantaran kepadanya,” kata Hazard.

RB Leipzig kehilangan mata penuh selepas hanya mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Wolfsburg.

Di BayArena, Bayer Leverkusen menguasai perlawanan dengan mengalahkan Eintracht Frankfurt 4-0 untuk melonjak ke tangga keempat.

Schalke dan Hoffenheim pula terikat 1-1, manakala satu lagi perlawanan berakhir keputusan seri ialah Werder Bremen menentang Hertha Berlin (2-2).

Freiburg menghidupkan peluang layak beraksi dalam saingan Eropah musim depan apabila menumpaskan Union Berlin 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 10:53 AM
Digital NSTP Subscribe