SALLEH Te’re ketika ditemuramah pada 2016. FOTO NSTP
SALLEH Te’re ketika ditemuramah pada 2016. FOTO NSTP
Syazwan Msar


LEGENDA bola sepak negara, Salleh Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Salleh Te’re menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Pengkalan Chepa, Kelantan, jam 12.30 tengahari semalam.

Allahyarham yang cukup dikenali ketika menjaringkan gol kedua negara ketika Malaysia menentang Amerika Syarikat (AS) di Sukan Olimpik Munich 1972, meninggal dunia selepas seminggu dimasukkan ke hospital Raja Perempuan Zainab II akibat bengkak paru-paru.

Perkara terbabit disahkan bekas rakan sepasukannya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) apabila turut memaklumkan kali terakhir berjumpa Allahyarham kira-kira tiga bulan lalu dengan keadaan kesihatan baik dan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik.

“Allahyarham tidak pernah memaklumkan ada penyakit kronik cuma adalah mengeluh sakit kaki mungkin kerana faktor umur yang sudah mencecah 73 tahun.

“Jasa dan bakti allahyarham sangat diingati apabila larian solonya dari tengah padang berjaya menyumbat gol kedua ketika Malaysia menewaskan Amerika Syarikat 3-0 pada aksi Sukan Olimpik Munich 1972,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Beliau berkata, Allahyarham yang berasal dari Ketereh, Kelantan, dibawa ke Masjid Pengkalan Chepa sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Landak, Pengkalan Chepa, Kelantan selepas solat Asar.

“Negara kehilangan permata bola sepak yang begitu komited berbakti demi negara malah mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan bagi memasti nama negara gah di persada antarabangsa,” katanya.

Allahyarham mula terbabit dalam sukan bola sepak pada usia 18 tahun dengan mewakili pasukan Penjara sebelum disusuli pula Perak, Kelantan dan kelab berpengkalan di Singapura.

Selain itu, Allahyarham mula mewakili negara pada usia 23 tahun dan berjaya mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan menentang skuad bawah 23 tahun Wales pada aksi persahabatan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 8:51 PM