MARTIAL (kanan) diberi ucapan tahniah oleh Fernandes selepas menjaringkan gol pertama United. FOTO Reuters
MARTIAL (kanan) diberi ucapan tahniah oleh Fernandes selepas menjaringkan gol pertama United. FOTO Reuters
Reuters

MANCHESTER United melengkapkan kemenangan berganda kali pertama di tempat sendiri dan lawan ke atas Manchester City dalam aksi Liga Perdana sejak era Alex Ferguson selepas menang 2-0 menerusi jaringan Anthony Martial dan Scott McTominay di Old Trafford, awal pagi tadi.

Kemenangan itu melonjakkan United ke tangga kelima dan skuad Pep Guardiola pula ketinggalan 25 mata di belakang pendahulu, Liverpool yang sekali gus membuka peluang luas buat The Reds menamatkan kemarau gelaran liga.

Martial meletakkan United di hadapan hasil rembatan voli rendah selepas sepakan percuma Bruno Fernandes memerangkap pertahanan City dan gagal diselamatkan penjaga gol, Ederson pada minit ke-30.

Jaringan Sergio Aguero selepas rehat dibatalkan akibat offsaid dan tanpa Kevin De Bruyne yang cedera, juara bertahan itu hilang penguasaan di bahagian tengah.

Pemain gantian, McTominay memastikan kemenangan gemilang United pada masa kecederaan hasil kesilapan Ederson yang melontarkan bola terus ke kaki pemain tengah Scotland itu yang pantas dimanfaatkan menerusi rembatan dari jarak 25 meter ketika gawang ternganga luas.

"Detik paling manis malam ini, perasaan sangat indah menjaringkan gol seperti itu di hadapan penyokong. Tetapi kami tak boleh berpuas hati dan terus berusaha layak ke Liga Juara-Juara,” kata McTominay.

"Kemenangan ini penting untuk terus menyuntik keyakinan bagi mengekalkan momentum pada perlawanan akan datang."

Kali terakhir United melengkapkan kemenangan berganda ke atas City pada musim 2009/10 dan skuad Ole Gunnar Solskjaer kini tidak tewas 10 perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 7:36 AM