MESSI meraikan jaringan ketika menentang  Real Sociedad di  Camp Nou semalam. FOTO Agensi
MESSI meraikan jaringan ketika menentang Real Sociedad di Camp Nou semalam. FOTO Agensi
Agensi

LIONEL Messi kini muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam lima liga utama Eropah selepas penaltinya membantu Barcelona menewaskan Real Sociedad 1-0 semalam.

Jaringan bintang Argentina pada minit ke-81 itu adalah gol ke-438 daripada 474 aksi La Liga sekali gus memintas catatan musuh ketat, Cristiano Ronaldo yang menjaringkan 437 gol dalam 540 perlawanan bersama Manchester United , Real Madrid dan Juventus .

Liga utama Eropah termasuk Liga Perdana Inggeris, La Liga Sepanyol, Bundesliga Jerman, Serie A Itali dan Ligue 1 Perancis.

Ronaldo dan Messi, dua penyerang paling prolifik di Eropah sepanjang zaman kerap bersaing sesama sendiri untuk anugerah individu dengan Messi menang enam Ballon d'Ors dan Ronaldo meraihnya lima kali.

Timbul persoalan siapa akan bersara dengan jumlah lebih banyak gol tetapi Messi jelas mempunyai kelebihan. Ronaldo tiga tahun lebih tua daripada legenda Barcelona itu dan tampak bersara lebih awal.

Barcelona tidak berada pada tahap terbaik ketika menentang Sociedad tetapi masih mampu meraih tiga mata dan kembali ke puncak La Liga selepas Real Madrid tewas mengejut kepada Real Betis, awal pagi tadi.

Skuad Quique Setien akan berdepan Mallorca pada Sabtu ini sebelum menentang Napoli dalam aksi peringkat kedua saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara. Kedua-dua pasukan seri 1-1 pada peringkat pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 12:38 PM