X
Wan Sukairi (empat dari kanan) menerima watikah jemputan Sukma di Johor daripada Onn Hafiz. FOTO Malik Muhamad
Wan Sukairi (empat dari kanan) menerima watikah jemputan Sukma di Johor daripada Onn Hafiz. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


MUTU pengadilan dalam sukan subjektif temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor bakal ditambah baik apabila Sekretariat Sukan Malaysia Johor akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi urusan pemilihan dan pelantikan delegasi teknikal.

Temasya Sukma di Selatan Tanah Air itu dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 19 Julai depan.

Berita gembira kepada persatuan sukan subjektif itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Penyampaian Watikah Jemputan Rasmi Kontinjen Terengganu sempena Sukma Johor 2020 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, kerjasama itu bagi mengelak kontroversi berkaitan mutu pengadilan dan pemarkahan dalam kalangan kontinjen bertanding seperti sukan wushu, pencak silat dan karate.

"Kami telah mengkaji setiap kelemahan dan kekurangan penganjuran Sukma di negeri-negeri lain sebelum ini bagi mengelak masalah sama berulang pada Sukma di Johor nanti.

"Bagi sukan yang tidak ada 'timing system', pelantikan ketua hakim dan juri kita libatkan MSN. "Jadi bukan maknanya kita kelola kita yang cari juri, tetapi MSN yang akan 'appoint' daripada segi delegasi ketua teknikal dan sebagainya," ujarnya.

Mengulas mengenai persiapan penganjuran bagi menghadapi temasya sukan dwitahunan itu, beliau menyatakan semua pembangunan infrastruktur sukan berjalan lancar dan kini telahpun siap 85 peratus.

"Kita jangkakan semua infrastruktur dan pembangunan itu akan lengkap sepenuhnya pada April depan," katanya.

Majlis penerimaan watikah berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata, Terengganu yang juga juara bertahan dalam Sukma mempertaruhkan 800 atlet termasuk pegawai ke kejohanan itu.

"Kini kita berada pada fasa persiapan akhir membabitkan atlet bagi memastikan Terengganu terus kekal merangkul juara keseluruhan," kata Wan Sukairi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 9:53 PM