PEMAIN Kedah, Kpah Sean Sherman ( kanan) mengawal bola daripada direbut oleh pemain Terengganu FC, Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar pada perlawanan Liga Super di Staddium Darul Aman, Sabtu lalu. FOTO Amran Hamid
PEMAIN Kedah, Kpah Sean Sherman ( kanan) mengawal bola daripada direbut oleh pemain Terengganu FC, Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar pada perlawanan Liga Super di Staddium Darul Aman, Sabtu lalu. FOTO Amran Hamid
Malik Muhamad


PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menuntut pemainnya beraksi lebih 100 peratus berdepan Selangor dalam aksi ketiga Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam esok.

Beliau turut menuntut benteng pertahanannya yang diketuai pemain import dari Senegal, Babacar Diallo lebih kebal menghalang jentera serangan skuad The Red Giants daripada bergerak bebas terutama dalam kawasan penalti.

Bagaimanapun Nafuzi terpaksa mengetepikan penjaga gol muda berusia 19 tahun, Rahadiazli Rahalim yang terpaksa berehat selama beberapa minggu selepas mengalami kecederaan pada bahagian bahu ketika aksi menentang Kedah Sabtu lalu.

Namun beliau lega apabila semua pemainnya bebas daripada sebarang kecederaan kecuali Rahadiazli sambil membayangkan tidak akan melakukan rombakan besar terhadap pasukannya.

Katanya berkemungkinan besar beliau akan mempertaruhkan barisan sama kerana berpuas hati dengan corak permainan serta prestasi anak buahnya ketika bangkit menumpaskan Kedah 4-3 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Sabtu lalu.

“Mungkin hanya rombakan kecil dilakukan dengan perubahan pada sesetengah posisi bagi memantapkan lagi mutu serta corak permainan pasukan.

“Bahagian pertahanan perlu diperkemaskan lagi kerana Selangor bukan lawan yang mudah dan mereka sudah membuktikannya dalam dua perlawanan terdahulu menentang Perak dan Pahang.

“Tonggak import kita juga dalam keadaan baik dan bebas kecederaan walaupun mengharungi perlawanan penuh dramatik dengan Kedah tempoh hari.

“Jadi saya berharap pemain dapat memberikan 100 peratus fokus selain tidak melakukan kesilapan dalam misi untuk mengutip mata penuh di laman sendiri malam esok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 9:40 PM