ADA kemungkinan Liverpool meraikan kejuaraan liga di stadium tanpa penonton. FOTO Agensi
ADA kemungkinan Liverpool meraikan kejuaraan liga di stadium tanpa penonton. FOTO Agensi
Agensi

PENULARAN wabak koronavirus baharu (Covid-19) mungkin akan menyaksikan tiada penyokong Liverpool meraikan kejayaan kelab itu menamatkan penantian kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas 30 tahun.

Ketika ini penyokong setia Liverpool sudah berkira-kira mengimpikan detik Jurgen Klopp dan barisan pemainnya menjulang kejuaraan liga di Anfield atau pun di gelanggang lawan.

Mereka pastinya tidak mahu meraikan kejayaan penuh bermakna itu di rumah jika tidak dibenarkan untuk ke stadium sebagai langkah mencegah wabak koronavirus, namun ada kemungkinan ia boleh berlaku.

Liverpool kini unggul dengan kelebihan 25 mata berbanding pesaing terdekat, Manchester City.

Banyak kemungkinan boleh berlaku ketika ini. Saingan Serie A di Itali dilangsungkan di stadium tanpa penonton dalam usaha untuk mengawal wabak itu.

Sudah ada khabar angin juga saingan Bundesliga di Jerman akan berakhir tanpa kehadiran penonton.

Jika Liga Perdana Inggeris mengikut jejak langkah sama, maka Liverpool mungkin akan menjulang trofi liga di depan stadium yang kosong.

Langkah pencegahan yang ketat sudah dilakukan pada saingan liga dengan kesemua tempat yang digunakan oleh barisan pemain akan menjadi keutamaan untuk dibersihkan.

Pengerusi kesatuan penyokong Liverpool, Joe Blott berkata: “Setiap penyokong yang saya temui ketika menyaksikan perlawanan sebelum ini memperkatakan perkara sama iaitu mereka bimbang tidak akan dapat meraikan kejayaan kelab di stadium.

“Selepas sekian lama menunggu detik ini, pasti amat sedih jika ia benar-benar berlaku. Ia adalah detik bersejarah yang ditunggu-tunggu oleh semua peminat dan kami cuma dapat berdoa ia tidak berlaku.”

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 10:37 PM