PENJAGA gol Pahang, Sharbinee Allawee (kiri) menghalang cubaan lawan. FOTO Ihsan Pahang FA
PENJAGA gol Pahang, Sharbinee Allawee (kiri) menghalang cubaan lawan. FOTO Ihsan Pahang FA
Asrol Awang


PAHANG mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Sabah 2-0 di Stadium Darul Makmur, hari ini.

Pada dua perlawanan sebelum ini, skuad kendalian Dollah Salleh itu tewas 1-2 di tangan Selangor dan PJ City FC (2-3).

Kemenangan itu sudah pasti menyuntik kembali semangat pemain Tok Gajah yang dikecewakan hasil jaringan di hujung perlawanan oleh pasukan lawan.

Pada perlawanan itu, tuan rumah yang terdesak, mempertaruhkan Ivan Carlos dan Mohamadou Sumareh untuk mengetuai jentera serangan.

Hasilnya, minit ke-21, Carlos menjaringkan gol pendahuluan selepas menerima hantaran Sumareh yang tidak dikawal.

Enam minit sebelum tamat separuh masa pertama, Sumareh hampir menjaringkan gol kedua buat skyad Tok Gajah tetapi bola rembatannya berjaya ditepis penjaga gol Sabah, Wan Azraei Wan Teh.

Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menambah gol kedua apabila pemain pertahanan import, Herold Goulon mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas Wan Azraie menjatuhkan Carlos di dalam kotak penalti pada minit ke-50.

Bagi Sabah, tiada percubaan berbahaya dimiliki dalam usaha memberi tekanan kepada tuan rumah terutama pada separuh masa pertama sebaliknya akur tanpa sebarang mata.

Tapi, kejayaan menewaskan Sabah sudah cukup melegakan Dollah yang sebelum ini meluahkan kekecewaan dengan prestasi anak buahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 11:06 PM