Aksi pemain pertahanan Juventus, Daniele Rugani (belakang) pada perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. FOTO File AFP
Aksi pemain pertahanan Juventus, Daniele Rugani (belakang) pada perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. FOTO File AFP
AFP

PERTAHANAN Juventus dan Itali, Daniele Rugani diuji positif koronavirus, umum juara Serie A itu hari ini.

Pemain berusia 25 tahun itu diuji positif koronavirus baharu atau Covid-19 dan kini masih belum menunjukkan gejala menurut kelab Turin itu dalam satu kenyataan.

“Juventus kini aktif melakukan semua prosedur diminta pihak berkuasa, termasuk mereka yang ada hubungan dengannya,” kata kelab itu.

Juventus dijadualkan menanti kunjungan pasukan Perancis, Lyon dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara pusingan kedua di Turin awal pagi Rabu depan.

Semua sukan di Itali ditangguhkan sehingga 3 April ini termasuk saingan Serie A namun Liga Juara-Juara dan Liga Europa berada dalam bidang kuasa UEFA.

Rugani yang menjadi pemain pertama Serie A diuji positif koronavirus menerusi Instagram memberitahu penyokong agar jangan bimbang dan dia berada dalam keadaan baik.

“Saya mahu memastikan kepada mereka yang bimbang mengenai saya, saya OK.

“Bagaimanapun ketika ini, saya rasa bertanggungjawab untuk mengucapkan terima kasih kepada semua doktor dan jururawat yang bergelut di hospital untuk menangani krisis ini.

“Saya meminta semua orang menghormati peraturan, kerana virus ini tidak menunjukkan sebarang perbezaan!

“Jadi mari lakukan untuk diri sendiri, untuk yang tersayang dan mereka di sekeliling kita,” kata Rugani yang menghabiskan tujuh tahun terakhir bersama pendahulu liga, Juventus selain dua tahun dipinjamkan ke Empoli.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 8:01 AM