KEHADIRAN penyokong ke stadium perlu diminimumkan sebagai langkah pencegahan penyebaran wabak.
KEHADIRAN penyokong ke stadium perlu diminimumkan sebagai langkah pencegahan penyebaran wabak.
Syazwan Msar


IBARAT menanti letusan wabak Covid-19 apabila perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) yang membuka tirai dua minggu lalu dihadiri ribuan penonton sebenarnya boleh menjadi medium penyebaran penyakit terbabit jika langkah susulan tidak diambil segera.

Walaupun perjalanan liga membabitkan beberapa negara termasuk Thailand, Singapura, Jepun dan Korea Selatan sudah ditunda akibat penularan Covid-19, namun berbeza pula Liga M tetap berjalan seperti biasa tanpa mengambil tindakan awal menyekat penyebaran penyakit berkenaan.

Malah, langkah berjaga-jaga seperti pemeriksaan suhu badan, penggunaan cecair basmi kuman dan memakai topeng muka sebenarnya tidak banyak membantu untuk menyekat penyebaran penyakit terbabit daripada terus berjangkit orang ramai ketika menyaksikan perlawanan bola sepak.

Perkara terbabit diakui Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am Dr Hanafiah Bashirun, apabila melihat ketika ini perlawanan bola sepak tidak sesuai berlangsung secara terbuka kerana berisiko menjadi medium penyebaran Covid-19.

Beliau berkata, perlawanan bola sepak seharusnya dijalankan secara tertutup dengan meminimumkan jumlah kehadiran orang ramai ke stadium bagi membendung perkara terbabit.

“Perlawanan bola sepak boleh juga disifatkan sebagai lokasi penyebaran senyap Covid-19 apabila kehadiran ribuan penonton sudah tentu penyakit terbabit boleh berjangkit tanpa disedari.

“Langkah pengcegahan yang diambil ketika ini di pintu masuk stadium sebenarnya tidak memadai kerana individu yang dijangkiti Covid-19 mengambil masa dua minggu untuk menunjukkan simptom penyakit itu.

“Oleh itu, keadaan sekarang yang dilihat semakin teruk adalah lebih baik perlawanan dijalankan secara tertutup dan melakukan pemeriksaan dengan lebih ketat lagi,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Selain itu, beliau berkata, aksi bersalaman sebelum perlawanan berlangsung juga perlu dihentikan kerana boleh berisiko penyebaran Covid-19.

“Setakat ini, sememangnya tiada larangan atau arahan berkaitan tindakan susulan terhadap perlawanan Liga M, namun apa yang perlu diingatkan ia adalah lokasi ribuan penonton berkumpul.

“Bayangkan jika seorang daripada 10,000 penonton disahkan menghidap Covid-19, Bagaimana kita mahu menangani masalah terbabit yang sudah tentu berisiko tersebar ke seluruh negara.

“Bersalaman atau bersentuhan sebelum perlawanan pun boleh menyebarkan virus terbabit dan sudah tentu tindakan itu boleh dihentikan seketika demi keselamatan bersama,” katanya.

Untuk rekod, ketika ini pemain Juventus dan Itali, Daniele Rugani diuji positif koronavirus.

Pemain berusia 25 tahun itu diuji positif koronavirus baharu atau Covid-19 dan kini masih belum menunjukkan gejala menurut kelab Turin itu dalam satu kenyataan. Sebelum itu, pemilik kelab Greece, Olympiakos, Evangelos Marinakis yang positif COVID-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 6:01 AM