GAYA Ighalo meraikan gol pertama United. FOTO Reuters
GAYA Ighalo meraikan gol pertama United. FOTO Reuters
Reuters

MANCHESTER United hampir pasti mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Europa selepas membelasah kelab Austria, LASK Linz 5-0 pada saingan peringkat pertama 16 terakhir di Stadium Linzer yang kosong tanpa penonton susulan wabak koronavirus, awal pagi tadi.

Penyerang, Odion Ighalo meletakkan United di depan pada minit ke-28 selepas menerima hantaran Bruno Fernandes dan meledak rembatan kencang dari jarak 18 meter.

Daniel James menggandakan jaringan pada minit ke-58 selepas dia memperdayakan pertahanan lawan dan melepaskan rembatan rendah ke penjuru gawang dari dalam kotak penalti tanpa dapat diselamatkan penjaga gol, Alexander Schlager.

Juan Mata menjadikan kedudukan 3-0 menerusi penyudah tepat dari jarak 10 minit pada minit ke-82 sebelum pemain gantian, Mason Greenwood dan Andreas Pereira melengkapkan kemenangan bergaya pada masa kecederaan.

Dalam perlawanan lain, kelab Switzerland, FC Basel mengejutkan Eintracht Frankfurt 3-0 di tempat lawan juga dalam stadium tertutup menerusi sepakan percuma Samuele Campo pada minit ke-27 sebelum pemain gantian, Kevin Bua menggandakan jaringan di minit ke-73 dan membantu Fabian Frei menjaringkan gol ketiga.

Penalti minit ke-88 penyerang Bosnia, Edin Visca membolehkan Istanbul Basaksehir menang tipis 1-0 ke atas FC Copenhagen dalam perlawanan yang disaksikan penonton.

Bekas penyerang Chelsea, Demba Ba terlepas beberapa peluang terbaik buat skuad Turki itu sebelum Visca menyempurnakan penalti.

Aksi United salah satu daripada empat perlawanan Liga Europa yang diarah berlangsung tanpa penonton susulan wabak koronavirus dan dua perlawanan terpaksa ditangguhkan.

Skuad Sepanyol, Getafe enggan berkunjung ke Itali berdepan Inter Milan manakala AS Roma berkata mereka tidak dapat terbang ke Sepanyol menentang Sevilla susulan larangan penerbangan.

Olympiakos Piraeus pula seri 1-1 menentang Wolverhampton Wanderers di tempat sendiri dalam perlawanan yang diteruskan tanpa penonton walaupun pemilik kelab Greece itu, Evangelos Marinakis berkata dia ada kontak dengan penghidap koronavirus.

Perlawanan lain menyaksikan Vfl Wolfsburg tewas 1-2 di gelanggang sendiri kepada Shakhtar Donetsk dalam stadium kosong manakala Rangers turut kecewa di tempat sendiri apabila tewas 1-3 kepada kelab Jerman, Bayer Leverkusen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 8:00 AM