Lee Zii Jia.
Lee Zii Jia.
Ferzalfie Fauzi


“SAYA perlu bekerja keras untuk mempersiapkan diri supaya lebih tenang dan mempunyai keazaman tinggi ketika di saat genting dalam mana-mana perlawanan,” kata perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengenai kegagalannya mara ke final Seluruh England, kelmarin.

Dia akur permainannya belum lengkap sepenuhnya untuk memenuhi harapan peminat badminton negara sebagai pengganti Datuk Lee Chong Wei.

Bagaimanapun, Zii Jia menganggap kejayaan mara hingga ke separuh akhir kejohanan itu sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh jaguh Denmark, Viktor Axelsen adalah pengalaman berguna buatnya untuk bergelar jagoan dunia pada masa depan.

Menurut pemain berusia 23 tahun itu, secara keseluruhan apa yang dilaluinya di Arena Birmingham membuka matanya selain menambah pengalamannya.

“Walaupun saya tewas, saya dan Axelsen bersaing sengit untuk membuktikan siapa sahaja boleh menang seterusnya mara ke final,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu berkata, dia akan terus mengorak langkah ke depan walau akur banyak lagi perlu dilakukan.

“Apa yang penting saya harus kekal fokus dan sentiasa berada pada landasan terbaik,” kata pemain nombor 13 dunia itu.

Kelmarin, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui Zii Jia sudah memberikan aksi terbaik di separuh akhir Seluruh England walaupun tumbang di tangan Axelsen.

Beliau berkata, perjalanan Zii Jia masih panjang dan setakat ini berada di landasan tepat.

Beberapa kesilapan di saat genting menyaksikan pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Dunia 2016 itu kalah 21-17, 13-21, 19-21.

Apapun, dia mempamerkan persembahan terpuji dengan gabungan serangan dan pertahanan mantap selain diselang-seli dengan permainan kemas di net, cuma kerap melakukan kesilapan terutama di saat genting.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 6:10 AM