SURAYA (kanan) melawat Syed Ahmad. FOTO Ihsan FAM
SURAYA (kanan) melawat Syed Ahmad. FOTO Ihsan FAM
Firdaus Hashim


MENYEDARI penderitaan yang ditanggung Syed Ahmad Syed Abu Bakar ekoran penyakit kanser prostat, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh bekas pemain kebangsaan itu.

Syed Ahmad, 74, yang baru saja selesai menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar semalam, dikunjungi oleh ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Datuk Suraya Yaacob.

Selain bertanyakan khabar mengenai tahap kesihatan Syed Ahmad, Suraya turut menyampaikan salam daripada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan menghulurkan sumbangan wang tunai daripada FAM sebagai tanda penghargaan di atas jasa beliau sepanjang menyarung jersi skuad kebangsaan.

Syed Ahmad yang beraksi di posisi penyerang adalah penjaring utama skuad Harimau Malaya ketika Kelayakan Olimpik pada tahun 1971 sekali gus berjaya membawa Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich.

Biarpun tidak tersenarai dalam skuad ke Munich, Syed Ahmad menyarung semula jersi skuad kebangsaan pada saingan Pestabola Merdeka 1974 yang menyaksikan Malaysia muncul juara serta Sukan Asia 1974 di Tehran Malaysia memenangi pingat gangsa.

FAM sebelum ini turut pernah memberikan sumbangan dan bantuan kepada Syed Ahmad ketika dia menjalani pembedahan jantung pada tahun 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 7:57 PM