AFIZAL
AFIZAL
Firdaus Hashim

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) digesa supaya menilai dan mengkaji semula perjalanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini bagi mengelak sebarang kos tambahan yang boleh membebankan kewangan pasukan susulan penundaan perlawanan ekoran wabak Covid-19.

Pengumuman penangguhan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) minggu lalu hingga ke satu tarikh yang belum dipastikan bakal memberi kesan kepada jadual saingan liga tempatan yang dibimbangi akan diheret sehingga ke Disember.

Sekiranya ia berlaku, sudah tentu akan memberi kesan kepada kantung pasukan terutama membabitkan isu kontrak pemain terutama tonggak import yang diikat sehingga penghujung November.

Lantas, seandainya jadual Liga M dimainkan hingga Disember ini, ia akan mencetuskan masalah seperti yang berlaku pada musim 2015 disebabkan masalah jerebu di mana beberapa pasukan berhadapan dengan situasi genting apabila pemain enggan beraksi susulan kontrak berakhir hujung November.

Antara cadangan yang difikirkan sesuai adalah memendekkan atau mengubah format pertandingan Piala Malaysia yang biasanya dilangsungkan selepas kempen Liga Super berakhir bermula Ogos hingga November.

Malah, ada juga yang berpandangan untuk memansuhkan saingan Piala Malaysia pada musim ini bagi mengelak ia berlanjutan hingga Disember.

Menurut Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Bakar, idea merombak format Piala Malaysia adalah yang terbaik kerana kemungkinan tempoh penundaan Liga Super sehingga hujung April ini.

“Kami tak dapat makluman liga akan tangguh. Mungkin liga akan tangguh hingga hujung April atau mungkin lepas raya (Aidilfitri pada penghujung Mei) akan sambung.

“Jadual liga mungkin akan lebih padat maknanya lepas Sabtu dan Ahad, kami akan main Selasa atau Rabu dan disambung terus. Selain itu, kita juga ada Piala FA dan Piala Malaysia. Saya melihat untuk pastikan kita tak beraksi hingga Disember, boleh difikirkan untuk mengurangkan pasukan bertanding dalam Piala Malaysia nanti.

“Apabila kami kurangkan pasukan, mungkin boleh habis ikut jadual pada November ini tanpa perlu hingga Disember yang akan beri kesan sampingan kepada pasukan nanti. Saya kira ia boleh dibincangkan dalam mesyuarat bersama rakan kongsi MFL nanti,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Nada sama disuarakan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Hussin Deraman yang melihat keputusan memansuhkan saingan Piala Malaysia antara cara terbaik mengurangkan kos pasukan.

“Benar, rata-rata pemain semua menandatangani kontrak hanya hingga November saja. Kalau terpaksa main hingga Disember, pasukan perlu memujuk pemain untuk kekal dan ia akan memberi kesan kepada kewangan.

“Malah, macam kami sekarang pun bila liga ditangguhkan, Kafa berdepan masalah kerana kewangan pasukan bergantung harap kepada jualan tiket penonton. Saya harap kami akan dapat kaedah terbaik untuk atasi masalah ini,” kata Hussin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 7:15 AM