John Obi Mikel tinggalkan kelab Turki kerana kebimbangan liga utama negara itu diteruskan berikutan penularan Covid-19.
John Obi Mikel tinggalkan kelab Turki kerana kebimbangan liga utama negara itu diteruskan berikutan penularan Covid-19.
Reuters

JOHN Obi Mikel meninggalkan kelab Turki, Trabzonspor sehari selepas bekas perancang tengah Chelsea itu meluahkan perasaan tidak selesa beraksi dalam perlawanan liga utama negara itu di sebalik kebimbangan penularan wabak koronavirus.

Pasukan Liga Super berkenaan mengesahkan kenyataan itu menerusi laman web rasmi kelab itu bahawa pemain dari Nigeria, yang menyertai kelab mereka tahun lalu dan mempunyai kontrak sehingga Mei 2021 meninggalkan kelab itu dengan persetujuan bersama.

“Soal nyawa lebih penting daripada bola sepak,” kata pemain berusia 32 tahun itu menerusi Instagram pada Sabtu.

“Saya tidak berasa selesa dan tidak mahu bermain bola sepak dalam situasi seperti ini. Semua orang harus berada di rumah bersama keluarga dan mereka yang tersayang dalam situasi kritikal seperti ini.

“Musim ini harus di tangguhkan ketika dunia berdepan saat yang sukar.”

Lima liga utama di Eropah membabitkan England, Sepanyol, Jerman, Itali dan Perancis -- begitu juga Liga Juara-Juara, Liga Europa ditangguhkan tetapi perlawanan Liga Turki diteruskan tanpa kehadiran peminat.

Covid-19 yang menjejaskan lebih 190,000 orang dan membabitkan 7,500 kematian di seluruh dunia, turut memaksa Kejohanan Eropah dan Copa America ditangguhkan.

Ia juga menjejaskan beberapa acara antarabangsa lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 12:22 PM