HARRIF ketika beraksi di LTdL 2020 bulan lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir
HARRIF ketika beraksi di LTdL 2020 bulan lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir
Malik Muhamad


PELUMBA basikal Terengganu Inc Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh meminta orang ramai agar mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan bermula semalam sehingga 31 Mac ini.

Pelumba kelahiran Terengganu berusia 32 tahun itu berkata, orang ramai perlu menangguhkan terlebih dahulu untuk pulang ke kampung atau bercuti meskipun pada musim cuti sekolah sebagai langkah bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Katanya, wabak itu tidak mengenal sesiapapun, justeru langkah yang diambil kerajaan itu perlu dipandang serius bagi mengelak berlakunya penularan wabak itu kepada diri, keluarga dan orang ramai.

“Masyarakat tidak boleh mengambil kesempatan menggunakan tempoh selama dua minggu ini untuk pulang ke kampung halaman atau membawa keluarga bercuti ke mana-mana destinasi.

“Jika mereka sudah rancang lebih awal untuk bercuti atau pulang ke kampung, saya merayu mereka perlu batalkan terlebih dahulu hasrat itu bagi membendung penularan wabak Covid-19 kerana virus itu tidak mengenal siapa kita sekiranya dijangkiti.

“Pengumuman kerajaan berhubung perintah berkenaan tidak boleh dipandang remeh, elakkan melepak di tempat-tempat yang diwartakan tidak boleh berkumpul, walaupun tiada simptom tapi risikonya cukup besar, mencegah itu adalah lebih baik,” katanya.

Pemenang dua peringat perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) bulan lalu itu turut mengingatkan semua atlet tidak melakukan aktiviti di luar rumah sebaliknya mengubah suai latihan di kawasan kediaman masing-masing.

“Sekarang musim bahaya, hadkan dulu aktiviti di luar sana dan sabar, sebagai atlet saya juga nasihat atlet lain buat latihan di kawasan kediaman masing-masing. Lagipun saya sendiri juga melakukan latihan kayuhan setempat di rumah untuk mengekalkan stamina.

“Ini kerana bukan masanya untuk kita 'enjoy' di luar sana seperti biasa, setiap orang perlu melindungi dirinya dan juga orang tersayang, jangan dah terkena baharu nak menyesal.

“Buat barisan hadapan negara termasuk pihak keselamatan, doktor, jururawat serta kakitangan hospital dan klinik serta semua yang terlibat secara langsung ataupun sebaliknya, ucapan terima kasih kepada mereka yang bertungkus-lumus membendung dan mengubati mereka yang terkena virus itu.

“Biarpun mereka sedar turut berdepan risiko berkaitan penularan wabak Covid-19 itu, pengorbanan mereka harus dihargai,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 6:36 PM
    Digital NSTP Subscribe