BRUNO Suzuki (kiri) menyambut baik langkah pihak pengurusan mewajibkan setiap pemain mengadakan latihan ringan di kediaman masing-masing untuk mengekalkan kecergasan. FOTO Ihsan TFC
BRUNO Suzuki (kiri) menyambut baik langkah pihak pengurusan mewajibkan setiap pemain mengadakan latihan ringan di kediaman masing-masing untuk mengekalkan kecergasan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


KAPTEN Terengganu FC II (TFC II), Bruno Suzuki menyambut baik langkah mewajibkan pemain menghantar video sebagai bukti sesi latihan dijalankan di kediaman masing-masing susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu bagi mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pemain kelahiran Brazil yang mendapat taraf kerakyatan Jepun itu berkata, 'homework' yang diberikan barisan kejurulatihan yang diketuai Roshadi Wahab itu mampu mengekalkan tahap kecergasan pemain.

Selain itu Suzuki berkata, latihan di kediaman itu juga mampu mengelak pemain 'terlena' selain perlu dilihat daripada sudut positif demi peningkatan diri dan pasukan bagi memastikan impian pasukan untuk terus mengemudi carta liga dan merampas kembali Piala Cabaran musim ini tercapai.

“Ya, kini kami menjalani latihan rutin di kediaman masing-masing dengan melakukan senaman ringan seperti bangkit tubi, larian setempat dan menimbang bola.

“Selain itu kami sentiasa mengikuti program yang sudah disusun staf kejurulatihan dan hasil latihan itu kami akan hantar kepada jurulatih melalui video.

“Kami tiada masalah kerana yang penting sekarang semua yang berada di Malaysia harus patuh dengan arahan semasa demi kesihatan dan keselamatan bagi mengelak penularan wabak Covid-19,” katanya.

Sebelum ini Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mengeluarkan garis panduan yang meminta semua pasukan menangguhkan terlebih dahulu sesi latihan termasuk perlawanan persahabatan susulan arahan kerajaan itu yang dikeluarkan Isnin lalu.

Malah badan induk bolasepak negara itu turut menegaskan tidak membenarkan pemain import meninggalkan negara ini kerana dikhuatiri tidak dibenarkan memasuki semula negara berikutan sekatan kemasukan warga asing di bawah arahan itu dalam usaha membendung penularan virus Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 7:07 PM