ZAQUAN bersikap positif dengan situasi yang berlaku ketika ini. FOTO Aziah Azmee
ZAQUAN bersikap positif dengan situasi yang berlaku ketika ini. FOTO Aziah Azmee
Firdaus Hashim


SUSULAN penangguhan Liga Malaysia (Liga-M) bermula Isnin lalu disebabkan oleh wabak Covid-19 membolehkan penyerang Kedah, Zaquan Adha Abdul Razak meluangkan masa yang lebih bersama keluarga di rumah.

Zaquan yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan juga hanya menghabiskan masa di rumah tatkala perancangannya untuk pulang ke kampung halaman juga terpaksa dilupakan demi memikirkan keselamatan semua pihak.

Baginya, dia mengambil positif situasi yang sedang berlaku ketika ini untuk mengambil peluang menikmati masa yang terluang selain turut melakukan aktiviti riadah di rumah bagi mengekalkan tahap kecergasan sebelum kembali berlatih bersama pasukan, bulan hadapan.

“Saya sekarang ini lebih fokus kepada keluarga di rumah dan melakukan aktiviti bersama anak-anak dan isteri sebab nak balik kampung pun tidak boleh.

“Tapi saya sebagai pemain memang kena keluarkan peluh juga dan untuk itu, saya tetap melakukan senaman dan aktiviti ringan di rumah asalkan dapat berpeluh sebab takut berat badan naik.

“Kita ambil positif sahaja apa yang berlaku ini dan setidak-tidaknya kita dapat gunakan masa yang ada ini untuk bersama keluarga dan saling menjaga kesihatan,” katanya.

Semua pasukan Liga-M ketika ini tidak dibenarkan melakukan sebarang latihan sehingga 31 Mac sepertimana yang diputuskan oleh Kerajaan Malaysia untuk kekal berada di rumah sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini.

Bekas ketua pasukan Harimau Malaya itu turut berharap semua peminat bola sepak tempatan dapat terus bersabar menantikan semula saingan liga domestik dan meneruskan sokongan tanpa henti walaupun kini terpaksa berdepan penularan wabak Covid-19.

Sudah pasti, situasi yang berlaku ketika ini merencatkan keghairahan penyokong apabila saingan liga yang sudah bermula dengan meriahnya terpaksa ditangguh serta-merta namun pemain berusia 33 tahun itu mengingatkan apa yang paling mustahak adalah semua pihak mengehadkan pergerakan dengan kekal berada di rumah.

“Dalam keadaan sekarang ni, kita tidak boleh nak agak macam mana situasi ini akan berakhir tetapi sudah pasti saya sebagai pemain memang tidak sabar nak sambung latihan balik.

“Apatah lagi penyokong sendiri pun saya rasa memang tak sabar nak tengok perlawanan balik tetapi kita dalam masa yang sama perlu berjaga-jaga dalam keadaan yang bahaya sekarang ini.

“Untuk penyokong, nak tak nak kena berkorban daripada tengok bola dan bersabarlah dengan tempoh masa ini dan saya percaya tidak lama lagi kita akan kembali seperti dulu,” kata pasangan kembar kepada Aidil Zafuan yang beraksi untuk JDT itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 7:52 PM