Lee Tuck berkongsi tips penjagaan kesihatan. FOTO mediamb Terengganu
Lee Tuck berkongsi tips penjagaan kesihatan. FOTO mediamb Terengganu
Malik Muhamad


KAPTEN Terengganu FC (TFC), Lee Tuck menasihati semua peminat bola sepak negara khususnya di Terengganu supaya bersabar dan tidak panik sebaliknya mengikut arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Tuck yang pernah dinobatkan Pemain Paling Popular Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 turut mengingatkan orang ramai tidak melakukan sebarang perjalanan yang tidak penting kerana risikonya cukup besar, sebaliknya dia mengajak masyarakat menggunakan tempoh PKP ini dengan perkara berfaedah dan berkualiti bersama keluarga di kediaman masing-masing.

Pemain berdarah campuran Malaysia-England itu turut merayu kepada pemain bola sepak seluruh negara supaya lebih berdisiplin mengikut PKP selain bijak menggunakan tempoh ini dengan aktiviti yang mampu mengekalkan tahap kecergasan termasuk bersenam.

"Kerajaan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah menasihatkan kita perlu mengambil langkah yang diumumkan kerajaan dengan serius kerana ia amat berguna dan penting untuk keselamatan diri dan keluarga.

"Kita perlu melaksanakan tanggungjawab dengan tetap berada di kediaman masing-masing tanpa melakukan sebarang perjalanan kerana risikonya adalah amat berbahaya ketika ini terutama kepada mereka yang mudah dijangkiti Covid-19 ini.

"Bersabarlah dan jangan panik, sebaliknya ikut arahan yang dikeluarkan pihak kerajaan dari semasa ke semasa, buat yang terbaik untuk kesejahteraan semua pihak, saya percaya akan selamat.

"Bagi kami, kelab sentiasa mengambil berat untuk melindungi kami sehingga ke waktu yang diberitahu kelak, selepas kami pulang menentang Selangor tempoh hari, kami sangat bermotivasi untuk kembali menjalani latihan, namun kami perlu bijak tambahan situasi wabak sekarang ini.

"Jadi kita tunggulah untuk beberapa minggu lagi, lagipun ketika ini saya hanya berada di rumah sahaja dan membuat rangka latihan seharian contohnya semalam saya bangun pagi dan membuat regangan selama 30 minit sebelum bersarapan dan bermain dengan anak.

"Selepas itu saya buat latihan fizikal dan kekuatan dengan melihat video daripada Youtube, kemudian saya makan tengah hari, selepas itu melakukan kerja-kerja aktif seperti mencuci kereta dan mengemas rumah membantu isteri.

"Pada waktu petang pula saya buat senaman otot, selepas makan malam bersama keluarga saya menonton cerita sebelum masuk tidur," katanya berkongsi tips penjagaan kesihatan di rumah dalam tempoh kawalan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 1:13 PM