CHENG Hoe menasihatkan supaya semua pihak mematuhi arahan kerajaan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
CHENG Hoe menasihatkan supaya semua pihak mematuhi arahan kerajaan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Firdaus Hashim


PEMAIN dan pegawai skuad Harimau Malaya menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya kekal berada di rumah seperti mana arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan susulan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe menasihatkan supaya semua pihak mematuhi arahan itu disampung turut mengingatkan pemain negara terus mengekalkan kecergasan dengan berlatih di rumah.

“Saya di sini ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia dan juga penyokong-penyokong Harimau Malaya supaya mematuhi arahan kerajaan didik di rumah, jangan keluar ‘stay at home and be safe’.

“Marilah kita sama-sama berdoa supaya wabak Covid-19 dapat dibendung dengan segera. Kepada pemain-pemain bola sepak negara, perlulah menjalani latihan secara sendiri ‘self discipline and stay fit’,” kata Cheng Hoe.

Sementara itu, ketua pasukan negara, Aidil Zafuan Abd Radzak berharap semua penyokong bola sepak tanahair sabar menanti saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang ditangguhkan bermula Isnin lalu.

“Kepada semua rakyat Malaysia dan terutama sekali kepada semua penyokong-penyokong bola sepak Malaysia, saya ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya kita semua 'stay at home' dan sama-sama mengikut arahan kerajaan, kita sama-sama berganding bahu untuk menangani virus covid-19.

“Dan kepada semua penyokong-penyokong bola sepak, nantikan Liga-M kita akan bermula dan kepada skuad kebangsaan pula, kita sama-sama nantikan untuk kita bermula balik dengan perlawanan kita yang tertangguh,” kata tonggak pertahanan JDT itu.

Penyerang negara, Shahrel Fikri pula mengajak peminat berdoa supaya wabak Covid-19 ini segera pulih dan pemain dapat kembali beraksi merancakkan kempen liga bola sepak tempatan.

“Doakan wabak Covid-19 ini cepat-cepat hilang dan harap semua peminat bola sepak bersabar untuk menantikan liga bola sepak kita dan pemain kebangsaan kita untuk beraksi, terima kasih,” kata ayam tambatan Perak itu.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menangguhkan segala aktiviti bola sepak mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan virus Covid-19.

Penangguhan aktiviti bola sepak itu termasuk saingan Liga-M dan liga bawahan anjuran badan induk itu dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta tidak terkecuali latihan pusat skuad Harimau Malaya yang dibatalkan minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 7:45 PM
Digital NSTP Subscribe