ZII Jia perlu kekal konsisten. FOTO Eizairi Shamsudin
ZII Jia perlu kekal konsisten. FOTO Eizairi Shamsudin
Datuk Seri Jalani Sidek

LEE Zii Jia mampu hadir sebagai pencabar utama pada temasya Sukan Olimpik Tokyo bermula Julai depan.

Mungkin itu satu kenyataan yang cukup berani daripada saya, tetapi mengapa tidak kita percaya kepada kata-kata itu?

Bukan mahu terlalu memuji Zii Jia selepas berjaya mara ke separuh akhir Seluruh England pada penampilan pertamanya, namun hakikatnya ialah pemain berusia 22 tahun itu sememangnya sudah mampu memberi cabaran kepada kelompok pencabar utama dunia.

Jika tidak, adakah sesuatu kebetulan apabila dia dapat menewaskan jaguh Indonesia, Jonatan Christie; bekas juara dunia dan emas di Sukan Olimpik, Chen Long dan hampir-hampir mampu menewaskan juara edisi Seluruh England kali ini dari Denmark, Viktor Axelsen di separuh akhir.

Mana mungkin juga Zii Jia kini mampu menduduki kelompok 10 terbaik dunia seperti yang disasarkannya sebelum ini.

Sudah tentu semua ini atas keupayaannya yang mampu bertemu dengan sesiapa pun lawannya dan berpeluang untuk menewaskan mereka.

Cuma untuk konsisten menjadi pencabar utama di Olimpik, ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki oleh Zii Jia.

Dia harus mengekalkan prestasi konsisten ketika ini sehinggalah ke Olimpik. Namun ia tampak agak sukar kerana tiada kejohanan yang berlangsung kerana wabak Covid-19.

Jadi Zii Jia perlu pandai mengekalkan tahap kecergasannya itu dengan konsisten menjalani latihan secara bersendirian.

Senjata utamanya - smash tajam juga harus diasah lagi.

Banyak pemerhati sukan badminton termasuk saya tidak menafikan Zii Jia antara segelintir pemain di dunia yang mempunyai smash cukup tajam.

Ayuh kita mula percaya kepada kemampuan Zii Jia. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 7:20 AM