Datuk Ahmad Shapawi Ismail. FOTO NSTP
Datuk Ahmad Shapawi Ismail. FOTO NSTP
BERNAMA

SEBARANG keputusan berhubung penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) di Johor yang dijadualkan pada Julai ini, hanya akan diputuskan selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan pada 31 Mac ini.

Ia susulan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dijadual diadakan minggu lepas bagi membincangkan perkara itu, terpaksa ditangguhkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan Malaysia bermula dari 18 hingga 31 Mac ini.

Sehubungan itu, masih belum ada keputusan muktamad sama ada temasya dwitahunan itu akan ditangguhkan atau dibatalkan, demikian menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Beliau menjelaskan perkara itu susulan dakwaan sebuah blog sukan mengenai undian 28 persatuan sukan, yang tidak bersetuju temasya itu diadakan pada pada 11 hingga 19 Julai ini ekoran penularan wabak Covid-19.

“Mesyuarat pun tidak ada lagi, macam mana sudah ada keputusan. Kita akan buat mesyuarat selepas Perintah Kawalan Pergerakan tamat.

“Jika perlu ubah tarikh penganjuran, kita ubah. Bergantung kepada keadaan semasa. Saya minta semua bersabar dahulu. Akan ada keputusannya nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 1:53 PM