X
SHAH Firdaus berkayuh setempat.
SHAH Firdaus berkayuh setempat.
Aida Adilah Mat


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk di luar negara tidak menghalang atlet kekal cergas.

Atlet berbasikal negara yang akan beraksi di temasya Olimpik Tokyo, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berkata, dia menggunakan masa yang ada menjalani latihan ringan di dalam rumah.

Pemenang pingat perak Sukan Asia Jakarta dalam acara pecut berpasukan itu kini sudah kembali ke Melbourne bersama-sama Azizulhasni Awang bagi meneruskan latihan di bawah bimbingan John Beasley.

Menerusi video yang dimuat naik dalam laman sosial Instagram, Shah Firdaus menunjukkan sesi latihan di dalam rumah antaranya berkayuh basikal, toe touch sit up, senaman bola (swiss ball leg rises) dan plank.

Ia juga antara cabaran menerusi #kbswahchallenge kepada atlet melakukan senaman sepanjang tempoh PKP.

Sementara itu, Shah Firdaus berkata, peluang beraksi di Olimpik buat kali pertama akan digunakan sebaik mungkin untuk menimba pengalaman.

Namun, dia tidak mahu meletakkan sebarang sasaran dan hanya mahu memberikan terbaik untuk negara tercinta.

“Ini temasya terbesar pertama saya. Saya pun tak tahu keadaan di sana. Jadi, saya tak nak letakkan tekanan dan sasaran tinggi. Saya mahu menikmati perlumbaan dan beri yang terbaik.

“Banyak yang saya belajar daripada temasya sebelum ini seperti di temasya Sukan Asia dan Komanwel bila letak sasaran pingat, tapi tak boleh nak laksanakan jadi saya tak mahu perkara itu berulang lagi kali ini,” katanya.

Shah Firdaus terpilih ke Olimpik berdasarkan kuota Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) yang mana Malaysia mendapat dua slot iaitu satu dalam keirin dan satu pecut berikutan kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 10:57 PM