AZIZULHASNI
AZIZULHASNI
Aida Adilah Mat


JAGUH berbasikal negara, Azizulhasni Awang sudah memiliki ‘resipi rahsia’ bersama jurulatihnya, John Beasley sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo yang ditunda ke tahun depan.

Malah, pemenang dua pingat gangsa Kejohanan Dunia di Berlin baru-baru ini itu menyokong penuh penundaan temasya berkenaan selepas menilai dari beberapa aspek iaitu kesihatan dan keselamatan.

“Saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Memang wajar ia ditunda kerana keadaan wabak yang mengganas secara global ini memberikan impak besar kepada semua atlet yang sudah layak di mana mereka tidak dapat menjalani latihan seperti biasa kerana rata-rata negara berada di dalam perintah berkurung.

“Tapi saya bersyukur kerana semasa penularan wabak Covid-19 ini semakin mengganas dan viral di televisyen dan media sosial, saya ketika itu berada di Berlin untuk Kejohanan Dunia. Sehari selepas berangkat pulang ke tanah air dari Berlin, kes Covid-19 di Berlin terus meningkat secara mendadak. Nasib baik saya dan pasukan tidak terkena tempias wabak itu,” katanya.

Juara dunia 2017 itu berkata, dia melihat penangguhan temasya terbesar itu sebagai satu yang positif kerana memberi lebih banyak masa kepadanya dan atlet negara untuk membuat persiapan.

Begitupun tiada istilah rehat buat dirinya dan langsung tidak menganggap penangguhan Olimpik itu memberi peluang kepadanya untuk ‘berbulan madu’ biarpun dalam perintah berkurung kerana latihan tetap dijalankan.

Azizul yang sudah pulang ke Melbourne, Australia berkata, dia mengadakan perbincangan dengan Beasley berhubung program latihan di rumah, bagi memastikan dirinya kekal cergas sebelum menghadapi Sukan Olimpik pada tahun depan.

“Saya di rumah buat kerja rumah bersama anak-anak saya, memandangkan sekolah (di Melbourne) ditutup. Dalam waktu sama, saya masih berlatih di rumah jugak. Bodyweight workout dan juga menggunakan kettlebells untuk menggantikan latihan di gim, dan saya menggunakan wattbike untuk latihan kayuhan dan simulasi kayuhan di velodrom,” jelasnya yang menjadi sandaran utama Malaysia memburu pingat emas sulung pada Sukan Olimpik.

Untuk rekod penangguhan temasya Tokyo itu adalah yang pertama dalam sejarah 124 tahun penganjurannya, tetapi ia pernah dibatalkan semasa meletusnya Perang Dunia pada tahun 1916, 1940 dan 1944.

Sukan Olimpik 2020 sepatutnya berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos, manakala Sukan Paralimpik dari 25 Ogos hingga 6 September ini.

Sementara itu, pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy menyifatkan penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 seperti dinyatakan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe adalah tindakan tepat.

Khairulnizam yang akan membuat penampilan ketiga di temasya Olimpik itu lega akhirnya sudah ada kata putus berhubung penganjuran temasya berkenaan dan dia kini sudah boleh merangka strategi apa yang perlu dilakukan untuk menghadapi temasya itu tahun depan.

Katanya, banyak perancangan termasuk dari segi latihan di luar negara terbantut berikutan penularan wabak Covid-19 ini bagaimanapun ia tidak hanya menjejaskan persiapan atlet negara tapi juga atlet seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:01 AM
Digital NSTP Subscribe