Dr Zulakbal Abd Karim
Dr Zulakbal Abd Karim
Firdaus Hashim


LANJUTAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan Malaysia hingga 14 April depan akan memberi kesan dan impak besar kepada sebilangan pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim berkata, antara kesan yang dilihat bakal menghimpit pasukan adalah kehilangan penajaan sekali gus menjejaskan kantung pasukan.

Jelasnya, syarikat swasta pasti mengharapkan sesuatu dengan aspek publisiti jenama syarikat berkenaan dipaparkan sepanjang musim.

“Bagi saya nyawa lebih penting daripada segala-galanya. Tetapi, dengan penangguhan liga yang lebih lama sebenarnya ia akan membawa kesan rantaian dalam sukan bola sepak. Rantaian yang dimaksudkan ialah apabila liga berhenti atau ditangguh terlalu lama, ia akan memberi masalah dari segi penaja yang mungkin lari selepas tidak dapat mempromosikan jenama mereka oleh pasukan.

“Apabila penaja lari, kemudiannya ia akan berjangkit kepada masalah pembayaran gaji di mana akan ada pasukan yang lewat atau tak bayar gaji pemain kerana ketiadaan wang. Sebab bila liga ditangguhkan, tiket perlawanan tak dapat dijual ditambah pula masalah penaja yang cabut lari, membuatkan rantaian masalah ini berterusan hingga ke tahap kemungkinan pasukan boleh ditutup,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sehubungan itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku badan pengelola saingan domestik perlu mewujudkan satu jawatankuasa kerja bagi mencari kaedah dan jalan terbaik untuk menangani masalah ini.

Katanya, perancangan jangka pendek dan panjang perlu dibentangkan kepada semua pemegang taruh termasuk menyediakan pakej rangsangan buat semua pasukan.

“Sampai sekarang kita tak dengar lagi kewujudan satu jawatankuasa khas atau task force untuk melihat perkara ini. Ini masalah besar yang tak boleh dipandang ringan. Ia perlu babitkan satu kumpulan pakar bagi membincangkan hala tuju bola sepak khususnya liga kita.

“Daripada task force itu mungkin MFL boleh tiru macam kerajaan mewujudkan pakej rangsangan ekonomi akibat Covid-19 ini. MFL juga mungkin antara lain boleh wujudkan pakej selamatkan kewangan pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:10 AM
Digital NSTP Subscribe