X
Roger Federer. FOTO File Agensi
Roger Federer. FOTO File Agensi
Agensi

ROGER Federer dan isterinya, Mirka mendermakan satu juta Swiss francs (RM4.5 juta) kepada beberapa keluarga yang memerlukan di Switzerland dan menyeru orang ramai untuk sama-sama membantu.

Berikutan pandemik koronavirus (Covid-19), Switzerland turut menggantung semua acara umum dan peribadi serta menutup semua perniagaan bukan keperluan penting sehingga sekurang-kurangnya pada 19 April ini.

“Ini adalah tempoh mencabar buat semua orang dan tiada yang akan ketinggalan di belakang,” catat Federer, 38, di Instagram.

“Sumbangan kami hanya permulaan.

“Kami harap pihak lain juga akan menyertai kami untuk membantu kepada lebih ramai keluarga yang memerlukan. Bersama-sama kita mampu mengatasi krisis ini! Kekal sihat!”

Juara 20 kali Grand Slam adalah antara bintang sukan yang mendermakan sejumlah wang untuk membantu mereka yang terjejas ekoran virus itu.

Minggu lalu, juara bertahan Wimbledon, Simona Halep mengumumkan di Facebook dia akan mendermakan wang untuk membayar kelengkapan perubatan di negara kelahirannya Romania.

Jelajah tenis profesional kini ditangguhkan sehingga 7 Jun, dengan acara Wimbledon dijadualkan berlangsung dari 29 Jun hingga 12 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 8:53 AM
Digital NSTP Subscribe