James Johnson. FOTO File Agensi
James Johnson. FOTO File Agensi
Agensi

KETUA Eksekutif, Konfederasi Bolasepak Australia (FFA) James Johnson mahu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) mempertimbangkan penganjuran acara bola sepak lelaki di Olimpik Tokyo kepada kejohanan membabitkan bawah 24 tahun (B24).

Tekanan dan desakan hebat memaksa temasya sukan itu dilanjutkan sehingga 2021 berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ia memberi kesan besar kepada bola sepak lelaki, dengan kebiasaan pasukan membabitkan pemain bawah 23 tahun, tapi beberapa pemain dijangka terjejas berikutan penundaan itu.

CEO FFA, Johnson berkata dia mahu pertimbangan daripada Fifa untuk perkara itu diubah bagi Olimpik Tokyo.

“Bola sepak lelaki di Olimpik adalah kejohanan bawah 23 tahun tapi kami mahu mencadangkan kepada Fifa dan Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) untuk mempertimbangkan perubahan kejohanan bola sepak lelaki dengan menjadikan ia kejohanan bawah 24 tahun untuk Sukan Olimpik Tokyo,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Ia bagi memastikan pemain yang membantu negara mereka dalam perlawanan kelayakan pada tahun ini yang kemungkinan tidak dapat beraksi pada kejohanan tahun depan kerana faktor umur.

“Perubahan ini memberi mereka berpeluang untuk memenuhi impian mewakili negara dan menjadi Olimpian.”

Pasukan wanita Australia juga layak beraksi di Olimpik, yang dijadualkan berlangsung sebelum musim panas pada 2021.

Johnson yang menyokong penangguhan sukan itu berkata : “Komuniti bola sepak kami menyokong penuh pembabitan atas kesungguhan dan mendorong pencapaian pasukan bola sepak wanita serta lelaki bawah 23 tahun untuk beraksi Tokyo.

“Bagaimanapun kami harus memastikan kesihatan dan kebajikan atlet, pegawai, sukarelawan dan peminat menjadi keutamaan.

“Kami bersyukur kerana IOC, AOC dan semua pihak yang terbabit mengambil keputusan ini.

“Apabila tarikh sebenar penjadualan semula Sukan Olimpik Tokyo 2020 diketahui, FFA bekerja sama dengan unit pasukan kebangsaan dan AOC untuk melakukan perancangan terbaik untuk kedua-dua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 10:11 AM