Barisan pemain Real Sociedad meraikan jaringan dalam salah satu aksi La Liga. FOTO File Reuters
Barisan pemain Real Sociedad meraikan jaringan dalam salah satu aksi La Liga. FOTO File Reuters
Agensi

PRESIDEN Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales, berkata pihaknya mahu menyelamatkan baki musim ini sekalipun aksi La Liga tampak sukar untuk kembali diteruskan pada Mei nanti.

Sama seperti beberapa liga bola sepak utama di Eropah, La Liga ditangguhkan susulan pandemik koronavirus (Covid-19), di mana tiada perlawanan dijalankan di liga utama Sepanyol itu sejak Real Sociedad menewaskan Eibar 2-1, pada 10 Mac lalu.

Sepanyol dilanda wabak Covid-19 yang serius sehingga membabitkan lebih 3,000 kematian dan lebih 47,000 kes disahkan.

Penangguhan sementara kempen 2019-20 diumumkan Isnin lalu akibat daripada krisis itu sambil aksi final Liga Europa dan Liga Juara-Juara Eropah tidak akan dijalankan mengikut jadual asal.

Semalam, Rubiales mendedahkan terdapat kemungkinan musim ini dilanjutkan melangkaui jadual asal dalam usaha memastikan ia dapat ditamatkan berbanding menghentikan saingan lebih awal.

Luis Rubiales. FOTO File Agensi
Luis Rubiales. FOTO File Agensi

"Keutamaannya adalah menamatkan musim," katanya pada sidang media.

"Kami tidak boleh sesuka hati menyingkirkan pasukan. Pasukan harus dinaikkan.

"Terdapat ratusan pasukan yang menunggu untuk menamatkan musim ini. Apabila negara pulih, ia akan menjadi detik untuk melengkapkan musim ini.

“Lebih baik berharap saya tidak silap dan kami dapat menyambung aksi Mei ini.

“Saya tidak fikir ia dapat dijalankan tetapi gembira untuk membuktikan pendapat itu didapati salah dan kami harus melanjutkan kalendar.

“Objektif utama adalah menyelamatkan musim ini. Itu perancangannya."

Begitupun, Rubiales turut mengesahkan pihak RFEF kekal berjaga-jaga dalam membincangkan tarikh aksi kembali disambung.

“Kami bekerja dalam setiap situasi tetapi tidak mahu menjadi peramal. Kami perlu berjaga-jaga,” tambahnya.

"Kami hidup dalam detik sukar, dengan banyak kematian. Kami tidak pernah menghentikan saingan lebih awal dan tidak akan lakukannya.

"Kami percaya penamat perlu lebih telus dan selamat. Ia boleh dilakukan apabila negara kembali ke situasi normal."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 10:38 AM