Stuart Ramalingan boleh rujuk FAM atau MFL. FOTO File NSTP
Stuart Ramalingan boleh rujuk FAM atau MFL. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


PENGURUSAN pasukan dan pemain diminta berbincang bagi mencapai penyelesaian terbaik terutamanya soal pembayaran gaji, kontrak pemain serta isu penajaan pasukan.

Ia berikutan lanjutan penangguhan dua minggu lagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) sehingga 14 April ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingan berkata, pihaknya menggalakkan supaya semua yang terbabit mengadakan perbincangan bagi membincangkan kesan terhadap situasi semasa ini.

Katanya, arahan kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan kerana isu penularan wabak Covid-19 diakui sedikit sebanyak memberi kesan kepada pasukan.

"Dalam keadaan sekarang, FAM berharap kelab, pemain dan pegawai dapat sama-sama menggunakan budi bicara serta bertolak ansur demi kepentingan bersama, sekali gus mencapai satu keputusan menang-menang untuk kebaikan semua.

"Memang semua pihak yang terbabit mempunyai kepentingan masing-masing untuk dijaga. Namun, dalam situasi ini, semua pihak perlu berkorban bagi mencapai satu penyelesaian yang terbaik dan sewajarnya untuk kepentingan industri bola sepak negara," katanya.

Situasi yang jelas memberi kesan besar kepada kantung pasukan yang terpaksa membayar gaji pemain sedangkan ketiadaan aksi liga mengakibatkan pasukan tidak boleh menjual tiket perlawanan bagi menampung kewangan pasukan.

Tambah Stuart, pada masa yang sama, FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga sentiasa terbuka untuk berbincang atau memberikan pandangan dan nasihat kepada mana-mana pihak sama ada kelab, pemain atau pegawai.

Semalam, Arena Metro melaporkan lanjutan PKP memberi kesan dan impak buruk kepada sebilangan pasukan dalam saingan Liga-M.

Pensyarah kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim berkata, antara kesan yang dilihat bakal menghimpit pasukan adalah kehilangan penajaan dan bakal menjejaskan kantung pasukan.

Selain itu, rantaian masalah kewangan pasukan akan 'berjangkit' kepada isu-isu lain termasuk soal pembayaran gaji dan jadual liga yang terpaksa dirombak semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 2:40 PM