KENNY yakin BWF akan mencari formula terbaik dan yang paling adil buat semua pihak berhubung syarat kelayakan ke Olimpik. FOTO Owee Ah Chun
KENNY yakin BWF akan mencari formula terbaik dan yang paling adil buat semua pihak berhubung syarat kelayakan ke Olimpik. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


KETIKA keadaan wabak Covid-19 belum menentu, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh mahu semua pemain negara kekal kompetitif.

Ini kerana tiada sebarang maklumat terbaru diterima daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung syarat kelayakan ke temasya Olimpik Tokyo selepas penganjur mengumumkan penundaan temasya terbesar dunia itu.

Bagaimanapun beliau yakin BWF akan mencari formula terbaik dan yang paling adil buat semua pihak berhubung syarat kelayakan ke temasya itu selepas beberapa kejohanan kelayakan terpaksa ditunda ekoran penularan wabak Covid-19 yang belum menemui jalan penyelesaian.

“Penundaan ini baru diumumkan dan BWF memerlukan masa untuk merangka perancangan terbaik. Kita perlu beri mereka masa kerana BWF sendiri baru mengeluarkan kenyataan rasmi dengan menyatakan bahawa satu kajian terperinci akan dilakukan berhubung implikasi kepada pemain terhadap penundaan temasya Olimpik.

“Apapun kita tunggu saja keputusan BWF sebelum boleh membuat perancang sendiri,” katanya.

Berdasarkan ranking kedudukan terdahulu, Kenny berkata untuk setiap kategori memang sudah ada pemain negara yang layak seperti beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan juga pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia namun beliau tidak boleh memberi komen lanjut berhubung kedudukan itu kerana belum ada sebarang keputusan rasmi dikeluarkan oleh BWF.

“Bagi saya satu perkara yang paling sukar ketika ini adalah untuk buat ramalan. Setiap hari ada perkara yang berubah dan perubahan itu mendadak jadi memang susah nak buat ramalan dan perancangan.

“Contohnya Olimpik. Pada sebelah pagi mereka mengumumkan bahawa tidak mungkin akan menunda temasya itu tapi tak sampai dalam tempoh 24 jam keputusan itu boleh berubah.

“Apa yang boleh buat sekarang adalah pemain perlu pastikan mereka berada dalam keadaan cergas dan kena bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:49 PM
Digital NSTP Subscribe