GOPI (kiri) dan rata-rata pemain Pahang tidak setuju gaji mereka dipotong. FOTO Mohd Rafi Mamat
GOPI (kiri) dan rata-rata pemain Pahang tidak setuju gaji mereka dipotong. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


RATA-rata pemain tidak setuju gaji mereka dipotong oleh persatuan bola sepak negeri termasuk kelab hanya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan saingan Liga Super (Liga M) musim ini ditangguh dalam tempoh panjang.

Mereka berpendapat dalam keadaan sekarang persatuan dan kelab sebagai majikan perlu mengadakan perbincangan bukan menggunakan kuasa veto bertindak memotong gaji pemain dengan alasan sumber kewangan semakin susut disebabkan tidak perlawanan dapat dilangsungkan.

Bekas penyerang kebangsaan yang kini bersama Pahang, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra berkata, tidak sepatutnya pemain menjadi mangsa walaupun persatuan dan kelab berhadapan krisis kewangan disebabkan Liga M terpaksa ditangguhkan.

Menurutnya, sekiranya persatuan dan kelab tetap bertegas untuk memotong gaji pemain, adakan perbincangan secara terbuka bagi mendapat persetujuan dan jumlah potongan yang sesuai dibuat.

“Secara peribadi saya tidak bersetuju persatuan dan kelab bertindak memotong gaji pemain kerana ia akan memberi kesan kepada barisan pemain hingga dapat menjejaskan prestasi mereka.

“Pemain yang meraih pendapatan tinggi tidak akan terkesan apabila gaji mereka dipotong namun bagi yang mendapat gaji agak rendah, berapa sahaja baki yang tinggal untuk dibelanja bagi menyara keluarga,” katanya.

Dia yang sebelum ini pernah bersama pasukan Johor Darul Ta'zin (JDT), Melaka United (MU) dan Selangor berkata, masalah kewangan tidak sepatutnya dijadikan alasan utama gaji pemain terpaksa di potong.

Muhammad Gopi Rizqi menambah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memberi perhatian terhadap nasib pemain sekiranya ada persatuan dan kelab bertindak memotong gaji pemain musim ini.

Sebelum ini terdapat laporan yang menyatakan ada persatuan yang akan bertindak memotong gaji pemain mereka berikutan sumber kewangan semakin susut berikutan penanguhan Liga Super yang menyebabkan pendapatan mereka tiada.

Bagi pemain pasukan MU, Ahmad Syamim Yahya berpendapat tidak sepatutnya persatuan dan kelab bertindak memotong gaji pemain hingga memberi kesan kepada mereka terutama yang berpendapatan rendah.

“Selepas memberi sepenuh perhatian terhadap pasukan akhirnya gaji dipotong, rasa kecewa dan marah pasti berlaku walaupun tidak ucap dengan kata-kata.

“Saya berharap episod gaji pemain dipotong berikutan PKP yang berpunca daripada wabak Covid-19 tidak berlaku, persatuan dan kelab perlu berusaha mengisi tabung kewangan mereka bermula dari sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 8:25 PM
Digital NSTP Subscribe