HAMIDIN meminta orang ramai terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Azhar Ramli
HAMIDIN meminta orang ramai terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Azhar Ramli
Firdaus Hashim


PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyampaikan pesanan buat seluruh peminat bola sepak negara supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan meminta untuk terus berada di rumah atau 'stay at home'.

Namun amanat yang disampaikan olehnya kali ini sedikit berbeza apabila Hamidin yang juga Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) turut memperagakan skil menarik menimbang bola di halaman rumahnya.

Dalam video selama seminit 24 saat itu, beliau juga menzahirkan kebimbangan mengenai penyebaran berita palsu dengan memohon kepada semua peminat supaya tidak menyebarkan berita yang tidak pasti.

“Saya ingin menyeru kepada seluruh komuniti bola sepak tanahair terutama sekali seluruh rakyat Malaysia untuk patuh Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Justeru, ayuh kita 'stay at home' bersama keluarga tersayang dan menjaga tingkah laku di media sosial tanpa menyebarkan sebarang info palsu,” katanya.

Selain itu, Hamidin juga merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan dan pegawai perubatan yang terus memberikan khidmat terbaik sepanjang penularan wabak Covid-19 ini.

“Tidak lupa juga, jutaan penghargaan saya rakamkan untuk semua 'frontliner' seperti polis, tentera, seluruh kakitangan kesihatan yang sanggup berkorban untuk membendung wabak menular ini.

“Ayuh semua rakyat Malaysia kita bersatu hati sebagai satu pasukan dalam menghadapi wabak Covid-19 ini. Saya doakan semoga Tuhan bersama kita dan kurniakan kesihatan kita semua. InsyaAllah 'stay fit at home', ayuh Malaysia,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk melanjutkan tempoh PKP yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac ini namun ia disambung lagi sehingga 14 April depan.

Untuk itu, FAM dan MFL turut menangguh saingan Liga Malaysia seperti mana arahan PKP oleh kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 9:01 PM