IRAGARTZE kini bertugas sebagai jururawat sepenuhnya. FOTO AFP
IRAGARTZE kini bertugas sebagai jururawat sepenuhnya. FOTO AFP
AFP

“SAYA hanya menjalankan tugas saya.” Demikian pengakuan Iragartze Fernandez, pengadil sambilan yang beralih tugas kepada jururawat sepenuhnya untuk membantu Sepanyol memerangi wabak Covid-19.

Pengadil berusia 26 tahun itu yang ditugaskan mengadili perlawanan di La Liga Iberdrola iaitu liga tertinggi untuk wanita selain Segunda B untuk divisyen ketiga liga lelaki, sudah mempraktikkan tugas sebagai jururawat sejak lima tahun lalu di Pusat Kesihatan Rekalde di Bilbao.

Namun sejak Covid-19 melanda Sepanyol, Iragartze kini bertugas secara sepenuh masa untuk membantu merawat pesakit.

“Apabila ada yang hadir dengan simptom batuk dan demam, tugas saya adalah untuk memeriksa simptom mereka.

“Risiko untuk kami terdedah dengan jangkitan adalah sangat tinggi kerana kami adalah individu paling rapat dengan pesakit. Ia adalah pengalaman yang cukup sukar kerana anda perlu berjuang menentang sesuatu yang anda tidak nampak dengan mata kasar,” katanya.

Sepanyol kini muncul negara kedua yang mempunyai jumlah kematian tertinggi selepas Itali apabila lebih 4,000 orang maut akibat pandemik Covid-19.

Iragartze adalah segelintir individu dari bidang sukan yang kini bertugas di barisan hadapan.

“Saya bukan seorang wira atau seumpama dengannya. Saya hanya jalankan tugas seperti orang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 10:40 PM