Farah Ann Abdul Hadi
Farah Ann Abdul Hadi
Aida Adilah Mat


PENUNDAAN tarikh penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang sepatutnya berlangsung Julai depan menghadirkan perasaan bercampur-baur buat atlet negara yang sudahpun mengesahkan tempat ke temasya itu.

Ada yang menzahirkan rasa gembira dan ada yang meluahkan rasa sedikit kecewa, namun terpaksa akur dengan keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 yang sudah membuat keputusan.

Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi berkata, keputusan untuk menunda temasya Olimpik Tokyo 2020 adalah satu keputusan tepat demi kebajikan atlet dan juga dunia.

Katanya, ia perlu diambil untuk memastikan semua yang terbabit berada dalam keadaan selamat dan sihat.

“Ia sesuatu yang baik apabila sudah ada keputusan berhubung penganjuran Olimpik dan kini atlet sudah boleh memberi fokus secara mental dan fizikal untuk membuat persediaan menghadapi temasya dengan satu tarikh baharu.

“Namun saya rasa sedikit kecewa kerana keseluruhan tahun ini dirangka untuk menghadapi Olimpik Julai depan tapi desas-desus yang mengatakan sama ada temasya itu tunda atau dibatalkan menyebabkan saya perlu bersedia dengan apa saja kemungkinan.

“Walau bagaimanapun dengan keputusan yang baru dibuat ini akan menjadikan saya lebih bekerja keras untuk melakukan yang lebih baik di temasya berkenaan pada 2021 nanti,” katanya.

Farah antara 12 atlet yang sudah mengesahkan tempat ke Olimpik dalam acara gimnastik artistik.

Turut layak ke Olimpik adalah Khairulnizam Mohd Khairulnizam Mohd Afendy (laser standard), Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (international 470), dan Khairul Anuar Mohamad (memanah).

Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng (3m papan anjal), Pandelela Rinong (10m platform) dan berpasangan dengan Leong Mun Yee dalam acara 10m seirama serta Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (basikal).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 6:10 AM