ALISSON dibeli dari Roma pada 2018. FOTO Agensi
ALISSON dibeli dari Roma pada 2018. FOTO Agensi
Agensi

JURULATIH penjaga gol Liverpool, John Achterberg mendedahkan ramuan Alisson muncul penjaga gol paling menyerlah berbanding penjaga gol lain.

Sejak menyertai Liverpool dengan harga £65 juta (RM340 juta) dari Roma pada musim panas 2018, Alisson kini dianggap penjaga gol terbaik di Liga Perdana malah di dunia.

Alisson meraih Anugerah Sarung Tangan Emas Liga Perdana dan trofi Liga Juara-Juara pada musim pertama di Anfield dan memainkan peranan utama membolehkan Liverpool hampir mengakhiri kemarau kejuaraan Liga Perdana dalam tempoh 30 tahun.

Achterberg yang banyak menghabiskan masa bersama bintang Brazil itu sama ada di dalam mahupun di luar padang menjelaskan mengapa Alisson begitu tangkas di antara dua tiang.

Jurulatih penjaga gol Liverpool itu mendedahkannya dalam laman web kelab: “Dia penjaga gol tidak punyai rasa takut - jika mahu melakukan sesuatu, dia tetap kekal dengan keputusannya.

“Dalam fikiran, dia tahu apa dilakukannya dan tidak teragak-agak. Itu sikap semula jadi penjaga gol, tak tahu takut, bijak baca perlawanan dan pantas buat keputusan.”

Achterberg turut menjelaskan betapa penting Alisson kepada jentera serangan Liverpool. Menurutnya, pemain berusia 27 tahun itu sering mencari peluang melakukan serangan balas pantas apabila bola dalam dakapannya.

Menurutnya: “Jika Ali menerima bola, dia peka dengan peluang memulakan permainan menerusi serangan balas pantas, sesuai dengan cara kami bermain.

“Mo [Salah] dan Ali berkomunikasi melalui pandangan mata dan Ali tahu dia mencipta serangan selain miliki kualiti mengalihkan bola daripada laluannya. Apabila Ali memintas hantaran sepakan sudut, perkara pertama dilakukannya ialah serangan balas pantas sama ada menerusi lontaran jauh atau voli tepi padang.

“Salah satu kekuatannya ialah kekal tenang walaupun ketika hebat ditekan, keputusan mudah tetapi ia tak mudah sebenarnya kerana anda selalu perlukan penyelesaian dan keputusan sempurna. Itu kualiti dimilikinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 4:32 PM