SADEK mengakui pemain perlU bersikap terbuka dan tidak terlalu berkeras demi kelangsungan industri bola sepak tempatan dalam jangka masa panjang. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
SADEK mengakui pemain perlU bersikap terbuka dan tidak terlalu berkeras demi kelangsungan industri bola sepak tempatan dalam jangka masa panjang. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Firdaus Hashim


“ORANG tamak selalu rugi.”

Kata pemerhati bola sepak negara, Sadek Mustafa kepada pemain-pemain Liga Malaysia (Liga-M) yang ‘keras kepala’ apabila ada segelintir yang enggan menerima cadangan pemotongan gaji atau penundaan gaji sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19 ini.

Jelas Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam itu, pemain bola sepak Liga-M perlulah bersikap terbuka dan tidak terlalu berkeras demi kelangsungan industri bola sepak tempatan dalam jangka masa panjang.

Menurutnya, opsyen pemotongan gaji atau penundaan gaji seharusnya dibincang bersama majikan bagi mencari solusi terbaik dengan melihat dari sudut global.

“Semua pihak perlu praktikal dan rasional untuk kelangsungan bola sepak tempatan. Kenapa perlu berkeras, sedangkan langkah-langkah bersifat praktikal boleh diperkenalkan?

“Kalau kita lihat liga di luar negara sudahpun mencadangkan potongan gaji, penundaan gaji dan juga ‘salary cap’.

“Andainya opsyen yang dibincangkan ialah penundaan bayaran gaji, ia tidak bermaksud pemain akan mengalami kerugian tetapi berkorban sedikit hari ini untuk keuntungan jangka masa panjang.

“Pemain hendaklah bersikap terbuka dalam hal ini. Kita lihat Kerajaan Persekutuan memperkenalkan beberapa inisiatif, selain institusi kewangan, pinjaman dan percukaian memberi kelonggaran. Sebagai anggota masyarakat, pemain juga mendapat faedah sebegini.

“Semua pihak harus memahami kesan rantaian ekonomi. Sekarang bukan masanya untuk bermewah-mewah kerana kelangsungan jangka masa panjang untuk semua jauh lebih penting,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaku badan induk bola sepak negara dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai pengendali liga domestik dalam satu kenyataan menasihati serta menggalakkan supaya semua pasukan dan kelab mengadakan perbincangan terbuka dengan pemain bagi membincangkan kesan terhadap situasi semasa ini.

Ini susulan arahan kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April depan kerana isu penularan wabak Covid-19 sekali gus menyebabkan saingan liga yang ditangguh mulai 16 Mac lalu bakal dilanjutkan lagi penangguhannya untuk satu tempoh yang lebih lama.

“Jika kedua-dua majikan dan pemain berunding, lanjutan masa dari segi perundangan dan syarat-syarat kontrak boleh dibincangkan atas sebab ‘force majeure’ atau keadaan darurat atau luar jangkaan di luar kemampuan manusia.

“Kita harus terima hakikat seandainya majikan bergelut dengan masalah kewangan dan berdepan kemungkinan gulung tikar, kesudahannya pemain dan kakitangan pasukan itu yang terus hilang pekerjaan.

“Bagi pemain yang mendapat gaji yang dianggap kecil, kita harus faham ramai lagi golongan B40 yang hidup kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang. Kita harus ingat orang tamak selalu rugi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 8:52 PM