WAN Sukairi (tiga kanan) menjelaskan semua atlet Terengganu bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19. FOTO ROZAINAH ZAKARIA
WAN Sukairi (tiga kanan) menjelaskan semua atlet Terengganu bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19. FOTO ROZAINAH ZAKARIA
Malik Muhamad


SEMUA atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu bebas daripada wabak Covid-19 yang membimbangkan dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah mengesahkan semua atlet negeri bebas daripada jangkitan wabak pandemik itu.

Tambah beliau, atlet Sukma negeri yang berjumlah 692 membabitkan 286 atlet wanita dan 406 lelaki juga bebas daripada sebarang kuarantin dan berharap atlet negeri dan semua atlet dari seluruh negara terselamat daripada jangkitan wabak itu.

“Alhamdulillah semua atlet Terengganu bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19, begitu juga dengan kuarantin.

”Namun nasihat saya buat atlet usah degil sebaliknya mereka perlu sentiasa patuhi semua arahan daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa sekarang sehingga 14 April 2020 bagi mengelak berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini dalam usaha membendung penularan wabak pandemik itu.

“Sebaliknya mereka perlu teruskan latihan di kediaman masing-masing dengan mengikut modul dan program khas yang sudah disediakan dan dirancang pihak jurulatih.

“Setiap atlet perlu menghantar kadar nadi awal dan kadar nadi maksimum latihan mereka pada setiap hari kepada jurulatih masing-masing dan prestasi mereka juga akan dipantau melalui video serta semakan kadar nadi itu pada setiap hari.

“Setakat ini semua atlet patuhi arahan dan berharap mereka dapat kekal konsisten berlatih sepanjang hampir sebulan tempoh PKP ini bagi memastikan impian untuk mempertahankan gelaran juara tercapai,” ujar Wan Sukairi.

Rabu lalu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan Sukma yang sepatutnya berlangsung pada Julai 2020 di Johor terpaksa ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma menerusi sidang video dan tarikh baharu temasya dwitahunan itu akan diputuskan selewat-lewatnya pada awal Mei depan selepas mengambil kira aspek paling utama iaitu keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih, pegawai serta semua yang terbabit dalam temasya berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 9:19 PM