Naomi menyokong keputusan untuk menangguhkan Sukan Olimpik. FOTO AFP
Naomi menyokong keputusan untuk menangguhkan Sukan Olimpik. FOTO AFP
AFP

BINTANG tenis Jepun, Naomi Osaka berkata dia kecewa kerana tidak dapat beraksi di Sukan Olimpik Tokyo pada tahun ini tetapi menyokong keputusan untuk menangguhkan temasya sukan terbesar dunia itu pada 2021.

Bekas pemain nombor satu dunia berusia 22 tahun itu menerusi akaun Twitter miliknya berkata, dia berasakan adalah lebih baik untuk temasya itu dilangsungkan pada tahun depan berikutan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Sukan akan menyatukan dan bersama dengan kita semula tetapi masanya bukan sekarang,” kata Naomi.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bersetuju untuk menangguhkan Sukan Olimpik selepas barisan atlet di seluruh dunia meluahkan kebimbangan berhubung penganjuran sukan itu sekiranya ia dilangsungkan seperti yang dijadualkan bermula Julai depan.

“Setiap orang tahu betapa Olimpik begitu bermakna untuk saya dan pastinya saya cukup berbangga beraksi di halaman sendiri. Sudah tentu saya berasa kecewa kerana ia tidak akan berlaku pada tahun ini.

“Tetapi kita semua akan kembali kuat semula pada 2021. Saya menyokong 100 peratus keputusan Perdana Menteri dan IOC.” katanya.

Naomi yang juga juara Terbuka Amerika Syarikat 2018 dan Australia 2019, meminta rakyat Jepun untuk kekal tabah.

“Inilah masanya untuk semua rakyat dari semua negara, latar belakang dan kaum berganding bahu menyelamatkan seberapa banyak mungkin nyawa. Bagi saya itu adalah semangat Olimpik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 10:54 AM