X
FOTO yang tular di media sosial sejak semalam memaparkan Azmeer yang berada diatas katil dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital. FOTO Ihsan Penyokong Kedah
FOTO yang tular di media sosial sejak semalam memaparkan Azmeer yang berada diatas katil dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital. FOTO Ihsan Penyokong Kedah
Izzali Ismail


PENYOKONG Kedah melahirkan kebimbangan di atas status semasa pemain bola sepak skuad Lang Merah, Azmeer Yusoff yang dimaklumkan terlantar dan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Ini bermula dengan tersebarnya sebuah foto yang tular di media sosial sejak semalam yang memaparkan Azmeer yang berada di atas katil di wad sebuah hospital.

Presiden Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC) Zulkifli Hashim yang juga penyokong setia Azmeer Yusoff sejak dia mula beraksi bersama Kedah pada 2016 berkata, pihaknya sudah mendapat maklumat yang sahih dari sumber terdekat yang memaklumkan mengenai berita terkini itu.

“Kami memang agak risau apabila mendapat berita ini dalam media sosial. Bagi memastikan berita ini sahih, kami terus mendapat pengesahan dari keluarga terdekat berkaitan status sebenar yang dilalui Azmeer.

“Bagaimanapun selepas menghubungi keluarganya, kami dimaklumkan dia kini mengalami demam panas dan sedang menjalani rawatan yang diperlukan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur sejak dua hari lalu.

“Kami dan seluruh penyokong Kedah kini mendoakan tahap kesihatannya agar kembali pulih dari demam panas yang dialaminya ini dan dengan rawatan terbaik yang sedang jalani ini kami yakin dia akan beransur pulih.” katanya

Zulkifli juga berkata berita mengenai perkembangan Azmeer yang menjalani rawatan ini juga menimbulkan banyak tanda tanya dan kerisauan dalam kalangan penyokong Kedah, tambahan pula disaat wabak Covid-19 yang sedang melanda negara.

“Memang ramai yang bertanya apabila melihat status gambar Azmeer yang dimuat naik dengan begitu cepat oleh netizen sejak semalam, namun dengan penjelasan tahap kesihatan sebenar daripada keluarganya, kami berasa sedikit lega.”

“Dalam masa yang sama, kami sentiasa menunggu perkembangan tahap kesihatanya dari masa ke semasa dan apa yang kami harapkan adalah mendoakan kesihatannya segera pulih secepat mungkin.” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 8:05 PM