X
HUP Wei risau mata olimpik yang dikumpulnya tercicir. FOTO AIZUDDIN SAAD
HUP Wei risau mata olimpik yang dikumpulnya tercicir. FOTO AIZUDDIN SAAD
Aida Adilah Mat


KETIKA atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei berpeluang cerah untuk beraksi di temasya Olimpik buat kali ketiga, penundaan temasya di Tokyo selama setahun mungkin menggusarkan dirinya ketika ini.

Apa tidaknya, mengikut sistem ranking, setiap mata yang diraih tahun ini akan luput pada hujung tahun dan mata baru akan dikira pada tahun depan.

Ini bermakna, atlet berusia 32 tahun itu perlu sekali lagi mengumpul mata terbaik sekiranya mahu beraksi di Olimpik nanti.

Bagaimanapun Hup Wei berkata, bukan dirinya saja yang terjejas begitu juga atlet lain dan dia perlu menunggu Persekutuan Olahraga Dunia (WA).

“Sekarang ini saya perlu tunggu untuk tindakan selanjutnya bagaimana syarat baru.

“Apa yang boleh dilakukan sekarang ini adalah teruskan latihan seperti biasa,” katanya.

Jika mengikut perkiraan lalu, Hup Wei kini berada pada landasan tepat untuk beraksi di temasya terbesar itu berikutan kuota 32 atlet terbaik akan layak ke Tokyo.

Juara Asia 2007 itu kini menghuni kedudukan ke-16 dunia dan tarikh akhir untuk menempah tempat ke temasya itu adalah pada 29 Jun.

Namun kini semuanya sudah berubah apabila Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bersetuju menangguhkan Olimpik Tokyo untuk tempoh setahun.

Sementara itu, WA kini sedang berusaha bagaimana untuk memulakan kembali saingan musim ini dan mengkaji sebarang perubahan yang perlu untuk proses kelayakan ke temasya Olimpik.

Badan sukan induk itu berharap dapat menjalankan beberapa siri perbincangan yang akan bermula Ogos hingga Oktober ini, bagi membolehkan atlet kembali menyertai pertandingan secepat mungkin.

WA juga akan menyediakan sebarang jawapan mengenai kemusykilan mengenai perubahan proses kelayakan Olimpik Tokyo.

Mereka mula melihat kembali proses kelayakan Olimpik selepas IOC dan badan sukan bersetuju semua atlet yang sudah melayakkan diri akan kekal beraksi tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 12:18 AM