X
BARISAN pemain Liverpool menjulang trofi selepas memenangi Kelab Piala Dunia FIFA di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha pada 21 Disember tahun lalu, FOTO AFP
BARISAN pemain Liverpool menjulang trofi selepas memenangi Kelab Piala Dunia FIFA di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha pada 21 Disember tahun lalu, FOTO AFP
Reuters

PEMAIN tengah Manchester City, Ilkay Gundogan berkata adalah lebih adil untuk seteru utama mereka, Liverpool dinobatkan selaku juara Liga Perdana Inggeris jika musim ini gagal ditamatkan berikutan pandemik Covid-19.

Gundogan memberitahu media Jerman bahawa Liverpool berhak untuk dinobatkan sebagai juara selepas selesa memimpin liga dengan kelebihan 25 mata ke atas City yang juga juara bertahan selain hanya memerlukan dua kemenangan untuk dinobatkan selaku juara.

“Bagi saya itu lebih baik,” kata Gundogan ketika ditanya sama ada Liverpool wajar dinobatkan selaku juara liga buat kali pertama selepas 30 tahun jika musim ini gagal ditamatkan.

“Sebagai seorang ahli sukan, anda perlu bersikap adil,” katanya sambil berkata ketika ini adalah detik sukar untuk badan bola sepak melakukan keputusan mengambil kira impak pasukan ditangga teratas serta di zon penyingkiran.

“Terdapat perbezaan pendapat. Bagi kelab yang melalui musim cemerlang, pastinya kurang senang jika saingan liga dibatalkan sekarang.

“Bagi kelab yang gagal mempamerkan aksi terbaik dan mungkin berada di zon penyingkiran pula, pembatalan mungkin lebih sesuai untuk mereka,” katanya.

Saingan Liga Perdana ditangguhkan sehingga 30 April tetapi penangguhan itu mungkin akan lebih lama.

Gundogan yang juga pemain antarabangsa Jerman berkata, dia terbuka untuk membincangkan mengenai pemotongan gaji seperti yang dilakukan oleh Juventus dan Borussia Dortmund.

“Saya tidak kisah dengannya. Tetapi setakat ini belum ada sebarang perbincangan di England.

“Mungkin kerana kelab di England mempunyai kewangan lebih kukuh berbanding kelab di Jerman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 8:32 AM