PENANGGUHAN temasya edisi ke-20 itu yang dijadualkan berlangsung pada Julai memberi kesan kepada atlet Terengganu. FOTO ABDULLAH YUSOF
PENANGGUHAN temasya edisi ke-20 itu yang dijadualkan berlangsung pada Julai memberi kesan kepada atlet Terengganu. FOTO ABDULLAH YUSOF
Malik Muhamad


PENANGGUHAN Sukan Malaysia (Sukma) adalah keputusan tepat namun ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada atlet Terengganu, malah kantung juara bertahan sukan dwitahunan itu juga turut kena tempiasnya.

Ini diakui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah yang menyatakan penangguhan sukan edisi ke-20 itu yang dijadualkan berlangsung pada Julai depan memberi kesan kepada atlet selain dana bertambah.

Bagaimanapun beliau mengakui keputusan yang dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Rabu lalu adalah langkah tepat dan terbaik demi menjaga keselamatan dan kesihatan semua atlet dan pegawai yang menyertai kejohanan sukan paling berprestij di Malaysia itu.

“Kami akur dengan keputusan tepat dan terbaik yang diputuskan KBS itu demi keselamatan dan kesihatan semua atlet dan pegawai, namun ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada atlet dan dana pasukan juga turut bertambah.

“Kesan ketara kepada atlet sudah pasti berkaitan had umur sebab syarat atlet yang bertanding dalam Sukma wajib berumur tidak lebih 21 tahun manakala kesan kedua adalah berkaitan dengan stamina dan kecergasan mereka kerana perlu berlatih sendiri di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Setakat ini belum ada keputusan lagi berkaitan had umur kerana tidak dibincangkan lagi dalam Jawatankuasa Tertinggi Sukma, tapi kami dan beberapa buah lagi negeri akan mencadangkan atlet yang sudah mendaftar untuk menyertai Sukma pada tahun ini sahaja dibenarkan beraksi walaupun kejohanan itu ditangguhkan pada tahun depan.

“Dalam perkara ini kami minta pihak KBS mempertimbangkan dan memikirkan semula dengan membenarkan atlet berkenaan bertanding demi keadilan dan semangat kesukanan yang tinggi terutama kepada atlet itu sendiri.

“Tapi kontinjen Terengganu bernasib baik kerana majoriti atlet bawah umur 20 tahun dan hanya sedikit sahaja berusia 21 tahun, situasi ini sudah tentu tidak memberi kesan yang ketara kepada Terengganu.

“Berkaitan stamina seperti juga pasukan lain iaitu atlet diwajibkan berada di rumah masing-masing dalam tempoh PKP ini susulan Covid-19, keadaan ini sudah tentu tidak ada persaingan kerana berlatih sendiri di rumah dan ini sebenarnya juga cabaran besar buat atlet untuk mengekalkan prestasi terbaik mereka.

“Faktor kewangan pula sebenarnya impaknya lebih besar kepada penganjur berbanding pasukan lain, kesan kepada kami hanyalah berkaitan dengan elaun atlet dan kejurulatihan yang perlu terus dibayar sehinggalah kejohanan itu berlangsung, jika tangguh tahun depan, kita akan bayar sehingga tarikh berkenaan.

‘Tapi saya berkeyakinan kerajaan negeri akan bantu, namun bergantung juga dengan sumber kewangan dan keupayaan daripada kerajaan negeri menyalurkan dana berkenaan.

”Bagaimanapun walaupun kesan berkenaan sedikit sebanyak mengganggu fokus atlet, tapi saya berkeyakinan ia tidak menghalang para atlet untuk mempertahankan gelaran juara yang dimenangi di Perak pada 2018,” ujar Wan Sukairi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 7:47 PM