KEUTAMAAN Melaka United adalah mahu menyelesaikan isu tunggakan gaji terlebih dulu. FOTO Ihsan Melaka United
KEUTAMAAN Melaka United adalah mahu menyelesaikan isu tunggakan gaji terlebih dulu. FOTO Ihsan Melaka United
Nazri Abu Bakar


PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) tidak bercadang membuat potongan gaji pemain susulan penangguhan Liga Malaysia (Liga M) akibat wabak Covid-19.

Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim berkata, setakat ini belum ada sebarang usul yang ditetapkan berkaitan perkara terbabit walaupun terdapat beberapa reaksi daripada pelbagai pihak berkenaan situasi semasa.

Katanya, bagi pihak MUSA keutamaan kini adalah untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji terlebih dahulu.

“Presiden yang baharu sudah tentu akan mengambil langkah yang sesuai dan segera bagi menyelesaikan isu ini.

“Apapun, jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berlanjutan dan tunggakan gaji juga selesai, kemungkinan keperluan untuk berbincang antara pengurusan dan juga pemain bakal diadakan,”katanya.

Ketika ini banyak persatuan bola sepak negeri dan kelab yang bersaing dalam Liga M terjejas sumber pendapatan berikutan penangguhan liga.

Situasi semasa yang tidak terkecuali kepada MUSA akibat krisis berkenaan menyaksikan kantung tidak terisi akibat penangguhan, justeru ianya terarah kepada usaha presiden dalam penyelesaian isu berkenaan.

Sebelum ini, peminat Melaka menyambut baik tindakan Ketua Menteri (KM) Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali menerajui kepimpinan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) sebagai presiden.

Malah bagi penyokong Yunos Baba komitmen KM amat disanjung walaupun sibuk dengan urusan pentadbiran negeri namun kesungguhannya amat dipuji demi kebaikan bola sepak Hang Tuah yang mahukan pemimpin berwibawa.

Baginya, KM adalah orang yang paling layak memimpin MUSA berikutan persatuan terbabit amat memerlukan perhatian serius daripada kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 12:05 AM