AKSI Serie A mungkin tidak dapat ditamatkan musim ini. FOTO Reuters
AKSI Serie A mungkin tidak dapat ditamatkan musim ini. FOTO Reuters
Reuters

PEMILIK Fiorentina dan Torino percaya saingan Serie A musim ini gagal untuk ditamatkan berikutan pandemik Covid-19.

Itali, negara yang paling terkesan dengan wabak itu menyaksikan jumlah keseluruhan kematian sehingga Isnin sebanyak 11,591 orang.

Itali ketika ini sedang melalui perintah berkurung selama tiga minggu dan Serie A seperti saingan bola sepak lain di seluruh dunia, masih tidak pasti bila akan bersambung semula.

“Fikirkan kesihatan terlebih dahulu, kita bercakap mengenai bola sepak kemudian,” kata pemilik Fiorentina, Rocco Commisso dalam satu temuramah.

“Sama-sama kita saksikan sama ada pemain dapat kembali menjalani latihan. Tetapi kemungkinan besar saingan Serie A tidak dapat ditamatkan,” katanya.

Rakan sejawatannya di Torino, Urbano Cairo pula berkata, meskipun pasukan dapat menjalani latihan semula pada Mei, masih tidak cukup masa untuk menamatkan saingan musim ini.

“Bermakna memulakan latihan semula pada hujung Mei dan menyambung aksi liga hujung Jun dan aksi penuh pada Julai dan Ogos.

“Kemudian berehat selama sebulan, kembali menjalani latihan dan anda tidak dapat menyambung semula aksi liga sebelum November. Ia tidak dapat dilakukan,” katanya dalam satu temuramah berlainan.

Juventus ketika ini menduduki tangga teratas dengan 63 mata, satu mata mengatasi Lazio.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 10:05 AM