WAN Sukairi (tengah) menyampaikan barangan keperluan kepada atlet Sukma Terengganu di Majlis Sukan Negeri Terengganu semalam. FOTO Ihsan MSNT
WAN Sukairi (tengah) menyampaikan barangan keperluan kepada atlet Sukma Terengganu di Majlis Sukan Negeri Terengganu semalam. FOTO Ihsan MSNT
Malik Muhamad


BAGI memastikan kebajikan atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu terjaga, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) menghulurkan bantuan barangan keperluan kepada mereka semalam.

Timbalan Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, seramai 200 atlet termasuk kakitangan MSNT dan pengawal keselamatan dibantu dalam program itu.

Katanya antara atlet terlibat dalam program penyerahan ini terdiri daripada sukan angkat berat, lawan pedang, bola sepak, pelayaran, bola jaring, olahraga, memanah, berbasikal, menembak dan silat.

Majlis penyerahan barangan keperluan itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.

“Program bantuan ini membabitkan empat buah daerah terdekat iaitu Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu manakala kaedah penyerahannya mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan.

“Tujuan program ini diadakan adalah untuk meringankan beban keluarga atlet yang kurang berkemampuan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 itu.

“Kami berharap dengan sedikit bantuan ini dapat membantu atlet berkenaan menjalani kehidupan seharian dengan gembira dan insya-Allah untuk atlet daerah lain pula, kami akan mengenal pasti kaedah terbaik penyaluran ini kerana ketika ini pergerakan agak terbatas,” katanya.

Terengganu yang muncul juara pada edisi ke-19 di Perak pada 2018 dengan merangkul 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa serta mengumpul keseluruhan 160 pingat menyasarkan untuk mempertahankan gelaran juara itu pada temasya yang dijangka berlangsung tahun depan di Johor selepas ditangguhkan susulan penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 3:15 PM